Adakah hasil pesakit lebih baik selepas pembaikan endovaskular atau pembedahan terbuka aneurisma aorta torakoabdominal?

Latar belakang

Aneurisma aorta torakoabdominal (TAAA) ialah pelebaran atau pembengkakan saluran darah 50% lebih besar daripada diameter saluran asal, yang menjejaskan aorta toraks dan perut secara serentak. TAAA yang melebihi 6.0 cm hingga 6.5cm dalam diameter (bergantung pada jantina pesakit, atau kehadiran kelemahan dalam dinding aorta yang diwarisi), atau TAAA yang mengembang lebih cepat daripada 1cm setahun, dianggap sebagai keadaan yang mengancam nyawa jika tidak dirawat, dan memberikan cabaran yang kompleks untuk pakar pembedahan dalam menentukan arah rawatan yang terbaik untuk setiap pesakit. Pilihan rawatan termasuk pembaikan pembedahan terbuka yang memerlukan pasukan pembedahan untuk membuka kedua-dua dada dan perut untuk menggantikan aorta yang berpenyakit dengan bahan graf; pembaikan endovaskular yang melibatkan memasukkan satu siri stent yang disaluti bahan (endografts) dalam aneurisme melalui hirisan kecil pangkal paha menggunakan X-ray untuk membimbing endografts ke tempatnya; dan pengurusan tanpa intervensi yang memerlukan kaunseling pesakit dan keluarga mereka dan, menetapkan ubat pesakit untuk mengawal faktor risiko apabila perlu. Komplikasi ketara termasuk kematian selepas pembaikan endovaskular dan pembedahan terbuka. Namun, pembaikan endovaskular secara konsepnya adalah kurang invasif, dan atas sebab ini, kami berhasrat untuk menentukan sama ada pembaikan endovaskular ialah pilihan yang lebih selamat untuk pesakit berbanding pembaikan pembedahan terbuka.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kami telah mencari literatur untuk kajian rawak terkawal dan kajian klinikal terkawal untuk menilai keberkesanan dan keselamatan pembaikan endovaskular berbanding pembedahan terbuka untuk merawat aneurisma aorta torakoabdominal. Kajian terkawal rawak dan kajian klinikal terkawal membantu memaklumkan pakar kesihatan, penggubal dasar, dan pengguna tentang pilihan rawatan terbaik yang mungkin untuk pesakit dengan TAAAs. Kajian seperti ini bertujuan mengawal faktor yang mengelirukan, seperti kecergasan pesakit atau pengalaman pakar bedah, supaya kaedah rawatan dapat dibandingkan dengan adil. Carian kami sehingga April 2021 tidak mengenal pasti sebarang kajian terkawal rawak atau kajian klinikal terkawal yang memenuhi kriteria kemasukan kami.

Kepastian bukti

Kami tidak menemui kajian yang membincangkan persoalan khusus kami.

Kesimpulan

Untuk menilai keselamatan dan keberkesanan pembaikan endovaskular berbanding pembedahan terbuka dengan berkesan, kajian terkawal rawak dan kajian klinikal terkawal akan membantu, tetapi terdapat cabaran logistik dan etika dalam menjalankan kajian tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric Inc). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information