Mesej utama
Enterokolitis nekrosis adalah penyakit usus yang serius dalam kalangan bayi pramatang yang menyebabkan kerosakan dan kematian tisu usus dan boleh menyebabkan lubang pada usus.
• Pemantauan rutin aspirat perut untuk membuat keputusan tentang pemakanan bayi pramatang mungkin ada sedikit atau tiada kesan ke atas risiko enterokolitis nekrosis.
• Memantau aspirat perut mungkin meningkatkan masa yang diambil untuk mencapai pemakanan penuh, tempoh nutrisi parenteral (pemakanan melalui vena) dan risiko jangkitan. Ia mungkin meningkatkan masa untuk mendapatkan semula berat lahir dan episod gangguan pemakanan (jangka masa apabila pemakanan terhenti sementara waktu) dalam kalangan bayi pramatang. Kesan pemantauan aspirat perut terhadap hasil penting lain adalah tidak pasti.
• Terdapat ketidakpastian sama ada menggunakan dua kriteria berbeza aspirasi perut untuk mengganggu pemakanan memberi kesan ke atas hasil penting dalam kalangan bayi pramatang.
Latar belakang
Pemantauan aspirat perut dibuat dengan mengeluarkan kandungan perut melalui tiub pemakanan dan menilai kandungan ini untuk kuantiti dan kualiti pada selang masa regular. Pemantauan aspirat perut untuk mendiagnosis intolerasi makanan dan enterokolitis nekrosis adalah satu amalan lazim dalam kalangan bayi pramatang yang diberi pemakanan melalui tiub. Tiada cukup bukti untuk menyokong pemantauan rutin aspirat perut sebagai panduan untuk memulakan atau meningkatkan pemakanan bayi pramatang yang sihat. Walau bagaimanapun, tidak memantau aspirat perut boleh menghilangkan tanda amaran awal untuk enterokolitis nekrosis dan dengan itu boleh meningkatkan risiko dalam kalangan bayi pramatang.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin mencari bukti daripada kajian-kajian yang menilai sama ada pemantauan rutin aspirat perut bermanfaat atau berbahaya dalam kalangan bayi pramatang.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang melihat pemantauan kandungan perut dalam kalangan bayi pramatang. Kami membanding dan merumus keputusan-keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti saiz kajian dan kaedah yang digunakan..
Apa yang kami dapati?
Kami menyertakan lima kajian (423 bayi) dalam ulasan ini.
Kami menemui empat kajian ke atas 336 bayi pramatang yang membandingkan pemantauan rutin berbanding tiada pemantauan aspirat perut dalam kalangan bayi pramatang. Kami mendapati satu kajian membandingkan penggunaan dua set kriteria yang berbeza berdasarkan kuantiti dan kualiti aspirat perut untuk memutuskan gangguan pemakanan semasa memantau aspirat perut.
Apakah batasan bukti?
Kami sederhana yakin terhadap bukti kesan pemantauan aspirat perut terhadap hasil seperti enterokolitis nekrosis, risiko jangkitan, masa yang diambil untuk mencapai pemakanan penuh, dan tempoh nutrisi parenteral.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Carian terkini adalah sehingga Februari 2022.
Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my