Soalan ulasan
Adakah penyusuan semula (memberi sekali lagi) aspirasi perut (susu yang dicerna sebahagiannya dan hormon usus ditarik melalui tiub penyusuan) dalam bayi pramatang menggalakkan pertumbuhan tanpa menyebabkan masalah penyusuan?
Mesej utama
• Bukti terhad menunjukkan penyusuan semula aspirasi perut dalam bayi pramatang mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas hasil penting seperti:
• berlakunya penyakit usus teruk yang menyebabkan kerosakan dan kematian tisu usus dan boleh mengakibatkan lubang pada usus bayi pramatang (necrotising enterocolitis);
• masa untuk mendapatkan semula berat lahir;
• masa untuk menentukan penyusuan enteral penuh (penyusuan susu sama ada secara oral atau melalui tiub ke dalam perut atau usus kecil);
• bilangan hari jumlah pemakanan parenteral (makan melalui urat); dan
• kematian sebelum discaj.
• Bukti yang ada tidak mencukupi untuk menilai potensi manfaat, serta kemungkinan risiko, penyusuan semula aspirasi perut pada bayi pramatang.
Latar belakang
Ia adalah amalan biasa untuk memantau aspirasi perut bayi pramatang pada penyusuan tiub. Penyusuan tiub bermakna bayi diberi penyusuan melalui tiub lembut kecil yang sama ada diletakkan di dalam hidung atau mulut mereka dan mengalir ke kerongkong mereka melalui paip makanan (esofagus) ke perut mereka. Aspirasi perut bayi dipantau untuk mengenal pasti kemungkinan intoleransi penyusuan (kesukaran dalam mencerna makanan) dan necrotising enterocolitis. Tidak ada persetujuan sama ada untuk menyusu semula atau membuang aspirasi perut. Penyusuan semula aspirasi boleh menggantikan susu yang dicerna sebahagiannya dan hormon usus yang diperlukan untuk kematangan usus. Walau bagaimanapun, penyusuan semula aspirasi yang tidak normal boleh mengakibatkan muntah, necrotising enterocolitis, atau jangkitan. Kami telah mencari bukti daripada kajian-kajian klinikal yang menilai sama ada penyusuan semula aspirasi perut bermanfaat atau berbahaya bagi bayi pramatang.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada penyusuan semula aspirasi perut membantu atau membahayakan bayi pramatang.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menyiasat penyusuan semula aspirasi perut dalam pramatang. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti saiz kajian dan kaedah yang digunakan.
Apa yang kami temui?
Kami mendapati hanya satu kajian kecil dengan 72 bayi pramatang yang menyiasat soalan ini. Penyusuan semula aspirasi perut mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas hasil penting seperti berlakunya necrotising enterocolitis, kematian sebelum discaj, masa untuk menentukan penyusuan penuh, bilangan jumlah hari pemakanan parenteral, dan penambahan berat badan di hospital. Kami tidak menemui maklumat mengenai hasil lain.
Apakah batasan bukti?
Lebih banyak kajian diperlukan sebelum kita dapat mengetahui sama ada penyusuan semula membantu atau memudaratkan bayi pramatang.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Carian terkini adalah sehingga Februari 2022.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Nor Faezah Binti Zainudin (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).