Rawatan untuk kesakitan neuropatik dalam seseorang berpenyakit sel sabit


Soalan ulasan
Pengulas mengkaji bukti-bukti tentang kesan dan keselamatan ubat-ubatan atau terapi lain, bagi rawatan kesakitan yang disebabkan oleh kerosakan saraf (kesakitan neuropatik) dalam kalangan orang yang berpenyakit sel sabit (SCD).

Latarbelakang

Kesakitan merupakan komplikasi yang paling biasa dalam SCD. Sebahagian daripada kesakitan ini mungkin disebabkan oleh kerosakan saraf dan kesakitan ini perlu dirawat secara berbeza daripada kesakitan biasa sel sabit. Ubat-ubatan biasa seperti ibuprofen atau morfin mungkin tidak berkesan dalam menguruskan kesakitan saraf ini. Kajian ini bertujuan untuk memeriksa keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan atau rawatan alternatif lain untuk kesakitan saraf dalam orang menghidap SCD.

Tarikh carian
Bukti ini adalah terkini sehingga: 31 Januari 2019.

Ciri-ciri kajian
Selepas carian terperinci kesusasteraan saintifik, pengulas mengenal pasti satu kajian yang layak untuk dimasukkan. Dalam kajian ini, orang dengan SCD yang telah didiagnosis mempunyai kesakitan neuropatik diletakkan secara rawak ke dalam kumpulan yang mengambil rawatan sama ada ubat yang dinamakan pregabalin atau plasebo (tiada ubat yang aktif).

Keputusan utama
Kajian dijalankan di Amerika Syarikat dan melibatkan 22 peserta dengan SCD, 11 pesakit dalam lumpulan pregabalin dan 11 dalam kumpulan ubat plasebo. Penilaian dibuat pada garis dasar dan setiap bulan selama tiga bulan.

Pelaporan sendiri kelegaan kesakitan neuropatik dan skor kualiti kehidupan (Borang Pendek-36) tidak ada perbezaan antara kumpulan pregabalin dan plasebo. Hasil bagi masa untuk penambahbaikan simptom dan perubahan dalam kualiti tidur tidak diukur dalam kajian yang dimasukkan. Beberapa kesan yang tidak diingini dicatat dan bilangannya tidak berbeza antara peserta yang diberikan pregabalin berbanding mereka yang diberikan plasebo.

Kesimpulannya, kesan pregabalin ke atas kesakitan neuropatik SCD tidak berbeza dengan plasebo. Pengulas tidak dapat membuat kesimpulan kukuh mengenai objektif mereka hanya berdasarkan satu kajian tunggal bersaiz kecil yang hanya merujuk kepada tiga dari tujuh hasil yang telah mereka tentukan lebih awal. Kajian yang lebih besar, dijalankan dengan baik bagi rawatan yang berbeza untuk kesakitan neuropatik dalam kalangan orang dengan SCD perlu dilaksanakan.

Kualiti bukti
Bukti dalam ulasan ini dinilai sebagai berkualiti sangat rendah. Kajian tunggal dalam ulasan ini kehilangan lebih daripada 15% peserta untuk susulan dalamg tempoh tiga bulan. Mereka menurunkan tahap bukti kerana tidak jelas bagaimana peserta dimasukkan ke dalam kumpulan pregabalin atau plasebo dan kerana bilangan kejadian dan peserta yang kecil dalam kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my)

Tools
Information