Kesan alat sokongan keputusan dalam telefon bimbit terhadap penjagaan kesihatan primer

Apakah matlamat ulasan ini?

Dalam ulasan Cochrane ini, tujuan kami adalah untuk mengenalpasti sama ada pekerja kesihatan primer (komuniti) yang menggunakan alat sokongan keputusan dalam telefon bimbit atau peranti mudah alih lain memberikan penjagaan yang lebih berkualiti. Kami telah mencari kajian di mana para penyelidik membandingkan alat sokongan keputusan yang digunakan pada telefon bimbit dengan amalan rutin di mana mungkin tidak ada panduan atau panduan yang sedikit dalam format kertas. Kami melakukan carian berkenaan kajian yang dijalankan dari 1 Januari 2000 hingga 9 Oktober 2020. Kami telah menemui lapan kajian.

Mesej utama

Kami tidak tahu sama ada alat sokongan keputusan yang digunakan pada peranti mudah alih akan menjadikan pekerja kesihatan primer lebih baik dalam mengikuti amalan yang disyorkan. Bukti tentang kesan penggunaan alatan ini terhadap kesihatan dan tingkah laku pesakit dan pelanggan adalah tidak jelas. Kami memerlukan kajian yang lebih banyak dan baik untuk menilai isu-isu ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Dalam banyak situasi, pesakit menerima kualiti penjagaan yang rendah. Hal ini selalunya disebabkan mereka tinggal di persekitaran yang miskin atau luar bandar dengan bilangan pekerja kesihatan yang sedikit, ataupun disebabkan pekerja kesihatan tidak mempunyai bekalan, peralatan yang mencukupi atau latihan yang betul. Pekerja kesihatan mungkin bergelut untuk mengikuti perkembangan terkini atau tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat keputusan yang betul, yang boleh menyebabkan kualiti penjagaan yang teruk untuk pesakit.

Alat sokongan keputusan mungkin menolong untuk menangani masalah ini. Alat sokongan keputusan membantu pekerja kesihatan memikirkan apa yang mereka tahu tentang pesakit tersebut. Seterusnya, alat ini membantu pekerja kesihatan membantu keputusan yang tepat untuk pesakit tersebut. Mereka bentuk alat sokongan keputusan yang boleh digunakan pada telefon bimbit atau peranti mudah alih yang lain seperti tablet dan pembantu digital peribadi (PDAs) dapat menjadikan alat ini lebih mudah untuk digunakan dan dikemas kini.

Tujuan utama ulasan ini adalah mengenal pasti sama ada pekerja kesihatan yang menggunakan alat sokongan keputusan pada telefon bimbit memberikan penjagaan kesihatan yang lebih baik berbanding pekerja kesihatan yang menggunakan alat sokongan keputusan yang bukan pada telefon bimbit atau tidak menggunakan alat sokongan keputusan. Kami telah melihat penggunaan alatan ini dalam persekitaran penjagaan kesihatan primer sahaja.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Kami telah menemui lapan kajian yang relevan. Tiga kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat dan lima kajian di India, China, Guatemala, Ghana dan Kenya. Kajian-kajian ini menunjukkan apabila pekerja kesihatan primer menggunakan alat sokongan keputusan pada telefon bimbit:

- kami tidak tahu jika mereka mengikuti amalan klinikal yang disarankan dengan lebih baik kerana kualiti bukti ini adalah sangat rendah;

- tiada corak jelas yang menunjukkan kesan positif atau negatif terhadap tingkah laku dan kesihatan pesakit atau pelanggan;

- kepuasan pesakit dengan maklumat perubatan mungkin meningkat sedikit;

- kami tidak tahu sama ada pendekatan ini menjuruskan pekerja kesihatan primer untuk menangani masalah kesihatan orang awam dengan lebih cepat kerana kami tidak menjumpai kajian yang menilai hal ini. Kami juga tidak menemui kajian yang meneliti kesan terhadap kepuasan pekerja kesihatan, penggunaan sumber daya, atau sama ada pendekatan ini mempunyai akibat yang tidak diingini (seperti bahaya).

Adakah ulasan ini mutakhir?

Kami telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga Oktober 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information