Berapa tepatkah ujian saringan dalam mengenal pasti mereka yang berisiko menbentuk glaukoma sudut tertutup primer?

Mengapakah memperbaiki diagnosis glaukoma sudut tertutup primer penting?
Glaukoma adalah sekumpulan penyakit mata yang menyebabkan kerosakan saraf optik di belakang mata. Jika tidak dirawat, glaukoma boleh menyebabkan buta. Glaukoma sudut tertutup primer adalah sejenis glaukoma, yang mana laluan saliran untuk cecair di dalam mata (dikenali sebagai sudut) menjadi sempit atau tersekat, menyebabkan peningkatan tekanan mata dan kehilangan medan penglihatan. Glaukoma sudut tertutup primer menyumbang kepada satu perempat semua kes glaukoma global dan ia lebih cenderung menyebabkan hilang penglihatan berbanding bentuk yang lebih lazim, glaukoma sudut terbuka primer.

Pelbagai ujian tidak invasif sedia ada untuk mengenal pasti orang yang berisiko untuk glaukoma sudut tertutup primer dalam komuniti atau persekitaran klinikal bukan pakar. Mereka yang diuji positif dirujuk kepada pakar untuk penyiasatan lanjut dan rawatan yang mungkin. Kegagalan untuk mengesan keadaan ini (keputusan negatif palsu) boleh meningkatan risiko kerosakan progresif saraf optik dan buta. Diagnosis yang salah (keputusan positif palsu) boleh menyebabkan penyiasatan yang tidak perlu dan mahal.

Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui berapa tepat ujian saringan tidak invasif dalam mengenal pasti mereka yang berisiko membentuk glaukoma sudut tertutup primer.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Lima kajian tidak invasif dikaji. Ini terdiri daripada ujian ringkas yang memerlukan lampu pen atau peralatan klinikal yang meluas didapati dikenali sebagai mikroskop lampu ‘slit’ (ujian lampu suluh serong; kedalaman kebuk anterior limbal (LACD)) hingga ke peralatan pengimejan lebih canggih (tomografi koheren optik segmen anterior (AS-OCT), fotografi Scheimpflug dan penganalisis kedalaman kebuk anterior imbasan periferal (SPAC)) yang boleh mengimbas dan mengukur dimensi sudut saliran.

Apakah keputusan utama dalam ulasan ini?
Ulasan ini menyertakan 47 kajian yang relevan, dengan sejumlah 26,151 peserta. Dua puluh tujuh kajian menilai AS-OCT, 17 kajian menilai LACD, sembilan kajian menilai fotografi Scheimpflug, enam kajian menilai SPAC dan lima kajian menilai ujian lampu suluh.

Prestasi diagnostik keseluruhan LACD adalah serupa dengan teknologi pengimejan yang lebih maju, AS-OCT, fotografi Scheimpflug dan SPAC, walau bagaimanapun, ujian lampu suluh menunjukkan prestasi lebih inferior. Menggunakan LACD sebagai contoh, jika ujian ini dibuat ke atas 1000 orang, yang mana 100 berisiko untuk sudut tertutup primer, dianggarkan 83 akan dikenal pasti dengan betul dan 17 kes akan terlepas (negatif palsu). Ujian tersebut akan mengenal pasti dengan betul 792 daripada 900 orang tidak berisiko untuk glaukoma sudut tertutup dan 108 orang tidak betul diklaskan (12%), yang tidak memerlukan rujukan (positif palsu).

Bolehkah keputusan kajian-kajian dalam ulasan ini dipercayai?
Kebanyakan kajian-kajian berkualiti rendah kerana cara peserta direkrut atau bagaimana ujian dijalankan. Ini mungkin menyebabkan ujian-ujian dilihat lebih tepat dari sebenarnya. Oleh itu kami tidak pasti ujian-ujian tersebut akan sentiasa menghasilkan keputusan yang dilaporkan.

Apakah implikasi ulasan ini?
Kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini kebanyakannya dijalankan di Asia, yang paling terbeban dengan glaukoma sudut tertutup primer. Keputusan ulasan ini menunjukkan LACD, ujian pantas dan ringkas boleh dijalankan dengan amaun latihan yang minimum, dapat mengenal pasti orang yang berisiko untuk glaukoma sudut tertutup primer, mendapat rawatan awal dan sesuai. Walaupun ujian ini berpotensi terlepas lebih kurang satu dalam enam mereka yang berisiko mengalami keadaan tersebut dan menyebabkan 12% terlebih rujuk, ujian ini mungkin berguna untuk saringan sasaran di kawasan dengan prevalen penyakit yang tinggi.

Adakah ulasan ini mutakhir?
Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga 3 Oktober 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information