Kelahiran yang dirancang pada atau dekat dengan tempoh lahir untuk memperbaiki hasil kesihatan wanita hamil dengan diabetes dan bayi mereka

Apakah isunya?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jika merancang kelahiran elektif pada atau hampir tempoh hamil, berbanding menunggu pelahiran spontan bermula, mempunyai impak terhadap kesihatan wanita dengan diabetes dan kesihatan bayi mereka. Ulasan ini memberi tumpuan kepada wanita yang menghidap diabetes sebelum hamil (diabetes sedia ada). Kelahiran elektif dijalankan sama ada oleh induksi pelahiran atau pembedahan caesarean, dan 'pada atau hampir tempoh' bermakna 37 hingga 40 minggu gestasi.

Untuk menjawab soalan ini, kami mencari semua kajian yang relevan (tarikh carian: 15 Ogos 2017), dengan matlamat mengumpul dan menganalisisnya bersama.

Mengapakah ini penting?

Apabila wanita dengan diabetes (Jenis 1 atau Jenis 2) hamil, mereka berisiko tinggi untuk komplikasi berbanding wanita yang tidak ada diabetes. Sebagai contoh, bayi mereka mungkin lebih besar dan berisiko kematian lebih tinggi pada minggu-munggu ahkir kehamilan. Kerana risiko ini, ramai klinisian mengesyorkan wanita dengan diabetes menjalani kelahiran elektif (selalunya melalui induksi) pada atau dekat tempoh (37 hingga 40 minggu gestasi), dan bukannya menunggu pelahiran spontan bermula atau sehingga 41 minggu gestasi jika semuanya adalah baik. Induksi mempunyai keburukan meningkatkan insidens kelahiran forseps atau kelahiran ventouse, dan wanita sering merasa sukar untuk mengatasi induksi pelahiran. Pembedahan caesarean adalah operasi major yang boleh menyebabkan kehilangan darah, jangkitan dan peningkatan masalah kelahiran berikutnya. Kelahiran awal boleh meningkatkan peluang masalah pernafasan untuk bayi. Adalah penting untuk mengetahui pendekatan kelahiran yang manakah mempunyai impak lebih baik terhadap hasil kesihatan wanita dengan diabetes dan bayi mereka.

Apakah bukti yang kami dapati?

Kami dapati tiada kajian yang membincangkan persoalan khusus ini.

Apakah maksudnya?

Tanpa kajia-kajian rawak, kami tidak dapat menyatakan sama ada wanita dengan diabetes dan bayi mereka mengalami hasil kesihatan yang lebih baik jika mereka meranang kelahiran (melalui induksi pelahiran atau pembedahan caesarean pada 37 hingga 40 minggu gestasi) berbanding menunggu pelahiran spontan bermula atau sehingga 41 minggu gestasi jika semuanya adalah baik. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menjawab soalan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information