Penapisan darah vena yang berterusan bagi pankreatitis akut yang teruk

Soalan ulasan

Bolehkah penapisan darah vena yang berterusan mengurangkan angka kematian dalam orang yang mempunyai pankreatitis akut teruk?

Latar belakang

Pankreatitis akut yang teruk dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi dan komplikasi yang mengancam nyawa. Hemofiltrasi vena-ke-vena yang berterusan (CVVH; penapisan darah yang berterusan dari vena) telah digunakan di beberapa pusat untuk mengurangkan komplikasi dan kematian, tetapi ia tidak diketahui jika CVVH bermanfaat untuk pesakit.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga September 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari semua kajian yang relevan, kajian-kajian dengan kendalian yang baik yang dilakukan sehingga September 2019. Kami sertakan tiga kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta-peserta diletakkan secara rawak kepada dua atau lebih intervensi, mungkin mengambil kira intervensi terkawal atau tanpa intervensi, dan keputusan kajian dibandingkan). Kami sertakan tiga kajian, melibatkan sejumlah 219 orang dewasa dengan pankreatitis akut yang teruk kerana pelbagai sebab, termasuk penyalahgunaan alkohol, penyakit hempedu, diet tinggi lemak, lipid berlebihan dalam darah, dll. Semua orang mengalami kegagalan organ tunggal atau berbilang. Semua kajian adalah kajian pusat tunggal yang dijalankan di China. Purata umur peserta adalah 47.4 tahun. Purata perkadaran perempuan ialah 42.0%. Dua kajian merawakkan 189 orang yang mempunyai pankreatitis akut yang teruk untuk menerima sama ada CVVH (97 orang) atau tiada CVVH (92 orang). Satu kajian merawakkan 30 orang yang mempunyai pankreatitis akut yang teruk untuk menerima sama ada CVVH dengan volum tinggi (kelajuan tinggi) (15 orang) atau CWH yang standard (15 orang).

Sumber pembiayaan kajian

Satu kajian telah ditaja oleh geran bukan komersial. Dua kajian lain tidak melaporkan sumber pembiayaan.

Keputusan utama: CVVH berbanding tiada CVVH

Kita tidak boleh mengetahui daripada hasil-hasil kajian sama ada CVVH mempunyai kesan yang penting atas kematian di hospital untuk orang yang mempunya pankreatitis akut yang teruk kerana saiz sampel yang kecil. CVVH boleh mengurangkan tempoh tinggal di unit rawatan rapi, tempoh penginapan hospital, dan jumlah kos hospital. Walau bagaimanapun, buktinya sangat tidak pasti kerana kedua-dua kajian mempunyai beberapa batasan dan keputusannya tidak tepat.

Keputusan utama: Satu jenis dari CVVH berbanding jenis CVVH yang berbeza

CVVH volum tinggi boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan kematian di hospital. Kami tidak pasti sama ada CVVH volum tinggi mengurangkan kejadian buruk. Kami tidak boleh mengetahui daripada keputusan kajian kami sama ada CVVH volum tinggi adalah lebih bagus, sama taraf atau lebih teruk berbanding CVVH standard untuk orang yang mempunyai pankreatitis yang teruk kerana saiz sampel adalah kecil dan keputusan kajian adalah tidak tepat.

Kepastian bukti

Kebanyakan kajian yang disertakan mempunyai beberapa limitasi dari segi cara mereka dijalankan atau dilaporkan. Secara keseluruhannya, kepastian tentang bukti adalah antara sangat rendah hingga sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Faezah Binti Zainudin (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information