Apakah isunya?
Ubat antifibrinolitik seperti asid tranexamic (TXA) mengurangkan pecahan klot yang terbentuk untuk menghentikan pendarahan dan mengurangkan perdarahan dalam pembedahan dan selamat diguna untuk mengurangkan kematian dalam kalangan pesakit dengan pendarahan akibat kecederaan tanpa meningkatkan risiko kejadian buruk. Ulasan ini menilai keselamatan dan kesan ubat antifibrinolitik dalam kalangan wanita dengan perdarahan selepas bersalin primer (PPH) (pendarahan berat dalam tempoh 24 jam pertama selepas melahirkan).
Ulasan terawal Cochrane mengenai rawatan untuk PPH primer meliputi semua rawatan sedia ada; ulasan tersebut telah dibahagikan kepada jenis rawatan. Ulasan baru ini hanya menumpukan penggunaan ubat antifibrinolitik untuk merawat PPH primer.
Mengapa ini penting?
Perdarahan selepas bersalin adalah salah satu punca utama kematian wanita selepas kelahiran anak dan juga boleh menyebabkan anemia dan komplikasi serius yang lain.
Apakah bukti yang kami temui?
Kami mencari bukti pada 28 Mei 2017 dan mendapati tiga kajian yang memenuhi kriteria kemasukan untuk ulasan ini. Peserta dalam kajian-kajian tersebut adalah wanita selepas melahirkan setelah hamil sekurang-kurangnya 24 minggu gestasi dengan diagnosis PPH, tidak kira sama ada mereka melehirkan melalui faraj atau pembedahan caesarean. Kami mengenalpasti tiga kajian (melibatkan 20,412 wanita). Walau bagaimanapun, salah satu kajian (di Iran) tidak melaporkan hasil yang penting, oleh itu, penemuan kami adalah berdasarkan dua kajian (melibatkan 20,212 wanita) yang dijalankan di persekitaran hospital di negara-negara berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah. Satu kajian adalah besar yang melibatkan lebih 20,000 wanita, dan kedua-dua kajian melihat keberkesanan dan keselamatan TXA intravena (IV) berbanding plasebo atau tiada rawatan. Dalam kedua-dua kajian, TXA diberi sebagai tambahan kepada penjagaan biasa untuk merawat perdarahan. Kajian yang menyumbang sebahagian besar maklumat kepada ulasan ini adalah berisiko bias rendah.
Keputusan kami menunjukkan TXA mengurangkan risiko kematian ibu akibat perdarahan (kualiti bukti: sederhana). Terdapat kurang kematian daripada semua punca tetapi penemuannya tidak menentu (kualiti bukti: sederhana). Dalam satu kajian dengan saiz sampel kecil kehilangan darah tambahan 500 mL atau lebih juga dikurangkan (151 wanita; kualiti bukti: rendah) TXA mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko penyakit ibu yang serius (kualiti bukti: tinggi), atau komplikasi seperti strok atau trombosis vena dalam (kualiti bukti: sederhana) Kadar histerektomi untuk mengawal perdarahan (kualiti bukti: tinggi) dan pemindahan darah (kualiti bukti: sederhana) adalah sama bagi wanita yang menerima TXA berbanding plasebo. Terdapat peningkatan dalam satu intervensi pembedahan (jahitan "brace") dalam kumpulan TXA dan pengurangan pembedahan lain (laparotomi untuk mengawal pendarahan) tetapi tiada perbezaan jelas antara kumpulan untuk prosedur pembedahan dan prosedur invasif lain.
Apakah maksudnya?
TXA apabila diberi secara intravena adalah berkesan untuk mengurangkan kematian akibat perdarahan apabila diberi dalam masa tiga jam kepada wanita dengan perdarahan selepas bersalin primer tanpa meningkatkan risiko komplikasi lain.
Kemudahan untuk pemberian IV tidak tersedia dalam beberapa persekitaran oleh itu kajian masa depan mungkin dapat melihat sama ada TXA adalah berkesan dan selamat jika diberi dengan kaedah lain.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.