Adakah asid lipoik alfa (antioksidan semula jadi) lebih baik daripada tiada rawatan atau rawatan palsu untuk kerosakan saraf dalam kalangan pesakit diabetes?

Mesej utama

• Kami menjumpai bahawa rawatan asid lipoik alfa berbanding dengan plasebo (rawatan palsu) berkemungkinan mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas gejala-gejala kerosakan saraf dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas ketidakmampuan selepas enam bulan rawatan.
• Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara asid lipoik alfa dan plasebo untuk kejadian kesan yang tidak diingini yang menyebabkan orang ramai berhenti menggunakan rawatan.
• Kami mendapati tiada kajian yang dapat membantu kami menjawab sama ada rawatan asid lipoik alfa boleh meningkatkan kualiti hidup atau komplikasi kerosakan saraf (ulser, amputasi atau kedua-duanya) dalam kalangan pesakit diabetes.

Apakah yang dimaksudkan dengan neuropati periferal diabetik?

Orang yang menghidap diabetes mempunyai terlalu banyak gula dalam darah mereka kerana pankreas mereka tidak dapat menghasilkan sebarang insulin (diabetes jenis 1) atau tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi (diabetes jenis 2). Diabetes adalah salah satu penyakit tidak berjangkit yang paling lazim (penyakit yang tidak disebarkan melalui jangkitan), dan ia menjadi lebih lazim setiap tahun. Orang yang menghidap diabetes jenis 1 dan jenis 2 mengalami komplikasi.

Gula dalam darah yang tinggi boleh mengurangkan aliran darah dalam saluran darah ke saraf, mengakibatkan kerosakan saraf (neuropati periferal diabetes). Gejala utama keadaan ini adalah sakit. Gejala lain termasuk kesemutan, sensasi terbakar, kebas, sakit seumpama tembakan atau tajam, dan juga sensitiviti yang melampau terhadap pakaian yang menyentuh kulit. Gejala-gejala ini disebabkan oleh kerosakan saraf secara langsung, dimana ianya berbeza daripada kesakitan biasa yang disebabkan oleh kecederaan atau kerosakan tisu. Disebabkan ini, ubat tahan sakit biasa tidak dapat mengurangkan kesakitan yang disebabkan oleh neuropati periferal. Orang yang mengalami keadaan ini juga boleh mengalami kelemahan, kehilangan refleks, atau kehilangan sensasi (bersama-sama dikenali sebagai ketidakmampuan), yang boleh mengganggu fungsi normal seperti berjalan.

Bagaimanakah neuropati periferal diabetik dirawat?

Ubat yang digunakan untuk merawat kemurungan atau epilepsi boleh memperbaiki gejala neuropati periferal diabetik. Sesetengah kajian telah mencadangkan bahawa asid lipoik alfa (antioksidan yang dibuat secara semula jadi dalam badan) boleh membantu kerana kesan anti-radang yang dimilikinya.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada asid lipoik alfa adalah lebih baik daripada tiada rawatan atau plasebo (rawatan palsu) untuk memperbaiki gejala neuropati periferal diabetik, ketidakmampuan, kualiti hidup dan komplikasi neuropati periferal diabetik (ulser, amputasi, atau kedua-duanya) dalam kalangan pesakit diabetes jenis 1 atau jenis 2. Kami juga ingin mengetahui sama ada asid lipoik alfa mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang menyiasat rawatan asid lipoik alfa berbanding tanpa rawatan atau plasebo selama sekurang-kurangnya enam bulan. Kami menganalisis dan meringkaskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap penemuan.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui tiga kajian yang menganalisis 816 orang dewasa dengan diabetes jenis 1 dan jenis 2. Para peserta menerima sama ada asid lipoik alfa atau plasebo. Dos asid lipoik alfa adalah antara 600 mg/hari hingga 1800 mg/hari.

Asid lipoik alfa berbanding plasebo mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas gejala neuropati periferal diabetik dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas ketidakmampuan selepas enam bulan rawatan. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara asid lipoik alfa dan plasebo dari segi kesan yang tidak diingini yang menyebabkan orang ramai menghentikan rawatan.

Tiada kajian mengukur kesan rawatan asid lipoik alfa ke atas kualiti hidup atau komplikasi neuropati periferal.

Sehingga asid lipoik alfa terbukti berkesan, tidak ada rasional untuk membandingkannya dengan rawatan aktif.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami adalah sederhana terhadap bukti berkaitan gejala dan kesan yang tidak diingini kerana dalam ketiga-tiga kajian, penyiasat terputus hubungan dengan ramai peserta sebelum tamat rawatan (kehilangan susulan). Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti berkaitan dengan ketidakmampuan, kerana kehilangan susulan dan kerana keputusannya sangat tidak tepat.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 11 September 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information