Perbandingan anestesia paravertebra dengan anestesia umum untuk pembedahan kanser payu dara

Apakah isunya?

Kanser payu dara adalah salah satu kanser yang paling lazim dalam kalangan wanita. Pembedahan pembuangan tumor adalah rawatan utama; walau bagaimanapun, penyebaran sel-sel kanser boleh berlaku akibat pengendalian tumor semasa pembedahan. Respon badan terhadap pembedahan (respon stres atau pelepasan hormon dan perantara) serta ubat-ubatan yang diguna untuk menghasilkan anestesia umum (hilang kesedaran sepenuhnya), seperti opioid dan anestesia inhalasi, juga boleh merendahkan imuniti dan mempromosi survival sel kanser.

Anestesia paravertebra bertindak dengan mengebaskan saraf-saraf pada satu sisi badan dan membolehkan pembedahan dilakukan tanpa anestesia umum. Peserta yang disedasi ringan boleh melaporkan sakit, sejuk, dahaga, atau lapar semasa atau selepas pembedahan, yang membolehkan rawatan yang tepat pada masanya. Gabungan dengan kelegaan sakit yang dihasilkan anestesia paravertebra, berpotensi meningkatkan imuniti, mengurangkan stres pembedahan, dan memperbaik kualiti hidup dan survival bebas kanser.

Soalan ulasan

Kami mengumpul dan menganalisis data dari semua kajian yang relevan untuk memastikan sama ada anestesia paravertebra memberi kualiti lebih baik pemulihan dan kelegaan sakit semasa rehat dan bergerak, dan untuk menentukan sama ada anestesia paravertebra mempunyai sebarang pengaruh terhadap mortaliti, berbanding anestesia umum.

Ciri-ciri kajian

Kami sertakan kajian rawak terkawal yang mana peserta-peserta dalam satu kumpulan menerima anestesia paravertebra dengan atau tanpa sedasi dan peserta-peserta dalam kumpulan satu lagi menerima anestesia umum semasa pembedahan kanser payu dara. Kami tidak sertakan kajian-kajian yang mana anestesia paravertebra diberik dengan tambahan kepada anestesia umum dan ini kemudian dibandingkan dengan penggunaan anestesia umum.

Keputusan utama

Sembilan kajian melibatkan 614 peserta disertakan. Empat kajian dijalankan di Eropah, tiga di Asia, dan satu masing-masing di Afrika dan Amerika Utara. Semua kajian berlangsung di hospital kolej perubatan tanpa dana eksternal.

Apabila mengulas bukti kualiti pemulihan, kajian-kajian ini melaporkan pelbagai hasil. Didapati anestesia paravertebra:

• mungkin mengurangkan penggunaan analgesik pascabedah 24 jam (61 per 1000 berbanding 480 per 1000 dalam kumpulan anestesia umum);

• mungkin mengurangkan insiden loya dan muntah pascabedah (72 per 1000 berbanding 340 per 1000 dalam kumpulan anestesia umum);

• mungkin mengurangkan sakit selepas 2 jam (sebanyak 2.95 mata pada skala 0 hingga 10) dan mungkin mengurangkan sakit selepas 24 jam semasa rehat (0.21 mata pada skala 0 hingga 10) berbanding anestesia umum; dan

• mungkin mengurangkan sakit dengan pergerakan selepas 6 jam dan 24 jam pascabedah (pada 6 jam sebanyak 2.57 mata; pada 24 jam sebanyak 2.12 mata pada skala 0 hingga 10) berbanding anestesia umum.

Tiada kajian melaporkan kematian dengan setiap teknik anestetik. Tiada kajian yang disertakan melaporkan survival bebas penyakit, sakit kronik, atau kualiti hidup selepas pembedahan kanser payu dara, mungkin kerana hasil-hasil ini tidak dijangka atau dirancang.

Laporan peristiwa buruk dengan sekatan paravertebra adalah jarang. Daripada 290 peserta yang menerima anestesia paravertebra, dua mengalami penyebaran epidural, empat mengalami pendarahan kecil, dan satu mengalami tusukan pleura. Tujuh belas daripada 240 peserta mengalami sindrom Horner. Semua peristiwa buruk adalah swamengehad dan sembuh tanpa rawatan.

Kualiti bukti

Kebanyakan bukti dinilai sebagai kepastian sederhana, bermakna kami sederhana yakin dengan keputusan yang dilaporkan. Dalam sesetengah kes, bukti dinilai sebagai kepastian rendah, bermakna keyakinan kami dengan keputusan yang dilaporkan adalah terhad.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information