Latar belakang
Asma ialah penyakit kanak-kanak yang lazim yang disebabkan oleh penyempitan saluran-saluran udara kecil dalam paru-paru. Penyempitan ini disebabkan oleh pembengkakan dan keradangan dan otot-otot di sekeliling saluran-saluran udara menjadi lebih ketat. Serangan asma akut menyebabkan sesak nafas, batuk, berdehit, dan kesesakan dada.
Apabila kanak-kanak mengalami serangan asma, rawatan standard adalah memberi steroid untuk mengurangkan keradangan dan pembengkakan (biasanya diberikan melalui mulut) dan ubat disedut untuk merehatkan otot-otot dalam saluran-saluran udara (dipanggil “bronkodilator”). Dalam ulasan ini, kami memanggil rawatan standard itu rawatan “barisan pertama”. Ubat-ubatan ini difahami dengan baik sebagai rawatan terbaik untuk digunakan dalam kejadian pertama.
Sebilangan serangan asma kanak-kanak tidak bertambah baik dengan rawatan barisan pertama, dan lebih banyak rawatan diperlukan - biasanya di jabatan kecemasan atau hospital; dalam ulasan ini, kami memanggilnya rawatan ‘barisan kedua’. Walau bagaimanapun, rawatan barisan kedua terbaik untuk kanak-kanak yang tidak bertindak balas kepada rawatan barisan pertama kurang difahami. Banyak pilihan rawatan sedia ada, dan apa yang dilakukan untuk kanak-kanak berbeza antara hospital.
Kami melihat kepada Ulasan Cochrane sedia ada mengenai rawatan barisan kedua untuk kanak-kanak yang mengalami serangan asma. Kami berharap dapat menyatukan maklumat ini dalam dokumen yang berguna dan dapat mengemukakan bukti yang dapat membantu pengamal perubatan membuat keputusan rawatan terbaik untuk setiap kanak-kanak yang mengalami serangan asma apabila bronkodilator disedut dan steroid oral tidak mengurangkan simptom.
Soalan ulasan
Apakah keberkesanan dan keselamatan pilihan rawatan sedia ada untuk kanak-kanak dengan asma akut yang tidak bertambah baik dengan rawatan barisan pertama standard?
Ciri-ciri kajian
Kami menyertakan 13 Ulasan Sistematik Cochrane mengenai pelbagai pilihan rawatan, termasuk ubat disedut, ubat intravena, dan terapi lain. Gambaran keseluruhan ini menyediakan bukti terkini dari ulasan sistematik dengan meta-analisis kajian rawak terkawal terhadap asma teruk akut dalam kanak-kanak. Gambaran keseluruhan ini terkini sehingga Disember 2019.
Kualiti bukti
Kualiti ulasan-ulasan ini dinilai menggunakan senarai semak, yang membantu kami menilai risiko bias. Sembilan daripada 13 ulasan dianggap berkualiti tinggi. Empat ulasan dianggap berisiko bias kerana kebimbangan dengan cara kajian-kajian itu dikenal pasti untuk dimasukkan dalam ulasan. Kebanyakan ulasan ketinggalan zaman kerana mereka tidak dikemas kini sejak tahun 2016. Kualiti bukti untuk perbandingan yang khusus antara sangat rendah ke rendah, dengan banyak keputusan datang dari kajian-kajian kecil. Adalah sukar untuk menjadi yakin dalam membuat cadangan untuk amalan klinikal.
Keputusan utama
Untuk kanak-kanak dengan asma teruk akut yang memerlukan rawatan tambahan, kami dapati bahawa:
- magnesium sulfat intravena (bronkodilator diberi melalui vena) didapati mengurangkan tempoh tinggal di hospital;
- tiada rawatan menunjukkan sebarang rawatan mengurangkan risiko dimasukkan ke penjagaan intensif;
- sebilangan rawatan didapati mengurangkan risiko kemasukan ke hospital. Ini termasuk menambahkan jenis rawatan bronkodilator disedut kedua (ubat antikolinergik seperti ipratropium bromida) kepada rawatan disedut standard (beta-agonis seperti salbutamol), memberikan magnesium sulfat intravena, dan menyedut campuran helium dan oksigen;
- peristiwa buruk serius mungkin dikurangi dengan magnesium sulfat disedut;
- loya dan/atau muntah adalah lebih kerap dengan aminophylline (ubat bronkodilator lain diberi melalui vena); dan
- menambahkan jenis rawatan bronkodilator disedut kedua (ubat antikolinergik seperti ipratropium bromida) mengurangkan risiko loya dan gegaran tetapi tidak muntah.
Cadangan untuk penyelidikan masa depan
Salah satu masalah utama dengan penyelidikan sedia ada adalah jumlah pesakit yang kecil dalam setiap kajian, berkemungkinan kerana asma akut teruk dalam kanak-kanak agak tidak lazim. Bagi mengetahui sama ada rawatan berkesan atau tidak dan/atau untuk mengetahui perbezaan antara rawatan, kajian penyelidikan mesti melibatkan bilangan pesakit mencukupi bagi setiap rawatan. Oleh itu, penyelidikan berkualiti tinggi mengenai asma akut teruk dalam kanak-kanak berkemungkinan memerlukan kajian yang melibatkan sejumlah hospital.
Adalah penting juga untuk dapat membandingkan keputusan antara kajian. Bagi melakukan ini, penyelidik di seluruh dunia perlu menyetujui cara standard pengukuran keputusan dalam kajian asma teruk akut dalam kanak-kanak.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my