Apakah rawatan yang paling sesuai untuk kecederaan radang dingin?

Apa itu radang dingin?

Radang dingin adalah kecederaan pada kulit dan tisu di bawahnya yang disebabkan oleh pendedahan kulit kepada suhu beku. Suhu beku menyebabkan kristal ais terbentuk di dalam tisu, ini mengurangkan bekalan darah ke tisu dan merosakkannya. Bahagian badan yang paling kerap terjejas adalah jari, jari kaki, hidung, telinga dan pipi. Gejala-gejala termasuklah kehilangan sensasi di kawasan yang terjejas, digabungkan dengan perubahan warna kulit yang pucat, diikuti oleh lepuh dan pembengkakan. Sekiranya kawasan yang terjejas tidak dipanaskan, dan pendedahan kepada sejuk berlanjutan, lapisan tisu yang lebih dalam mungkin akan terjejas, di mana ia mungkin akhirnya mengakibatkan kehilangan tisu, iaitu, kehilangan jari atau jari kaki (amputasi).

Pemanasan (pemanasan semula) di kawasan radang dingin akan menyebabkan kesakitan yang teruk. Pada masa ini, rawatan melibatkan:

- pemanasan semula kawasan yang terjejas dengan cepat dalam tab mandi pusaran dengan suhu 37 °C hingga 39 °C;

- memberikan ubat tahan sakit kepada pesakit dalam bentuk aspirin dan ibuprofen; dan

- jika kawasan yang terjejas tidak kembali normal setelah melakukan pemanasan semula, pindahkan pesakit ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

Beberapa rawatan khusus yang berbeza boleh diberikan di hospital, termasuk ubat yang disebut 'iloprost', yang dapat meningkatkan aliran darah ke kawasan yang mengalami radang dingin. Diharapkan iloprost dapat membalikkan kerosakan pada tisu yang mengalami radang dingin.

Sejauh mana bukti itu terkini?

Bukti dalam ulasan ini merangkumi penyelidikan yang diterbitkan hingga 25 Februari 2020.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan ubat-ubatan yang mempengaruhi seluruh tubuh, atau rawatan yang digunakan pada kulit (terapi topikal), atau teknik pemanasan semula yang digunakan untuk merawat kecederaan radang dingin dengan rawatan lain untuk radang dingin, atau rawatan 'dummy' (plasebo), atau tanpa rawatan. Kami mencari kajian-kajian rawak terkawal, di mana rawatan yang diterima oleh seseorang ditentukan secara rawak, ini adalah kerana kajian seperti ini memberikan bukti rawatan yang paling boleh dipercayai.

Kami berminat dengan:

- risiko amputasi;

- kesan rawatan tidak diingini yang serius dan tidak serius (kejadian buruk);

- kesakitan yang teruk, terutamanya semasa pemanasan semula;

- kesakitan yang berpanjangan;

- seberapa baik orang yang mengalami radang dingin dapat melakukan aktiviti kehidupan seharian;

- kualiti hidup yang dialami oleh orang yang mengalami radang dingin;

- bilangan orang yang menarik diri dari rawatan kerana masalah yang disebabkan oleh terapi;

- tempoh masa orang tidak menghadiri pekerjaan mereka kerana radang dingin;

- jangka masa untuk kembali bekerja; dan

- jumlah kematian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui satu kajian rawak terkawal (RCT) yang melibatkan 47 orang yang diselamatkan oleh pasukan penyelamat gunung di Pergunungan Alps Perancis. Semua orang dirawat dengan satu dos dari dua ubat, aspirin dan buflomedil, kemudian dibahagikan kepada satu daripada tiga kumpulan untuk rawatan selanjutnya.

Kumpulan 1 menerima buflomedil tambahan (sejak RCT ini berlangsung, buflomedil telah ditarik dari penggunaan kerana laporan mengenai kejadian buruk yang teruk berkaitan dengan penggunaannya);

Kumpulan 2 menerima ubat lain yang disebut iloprost;

Kumpulan 3 menerima iloprost dan bahan yang terlibat secara semula jadi dalam pemecahan pembekuan darah (pengaktif plasminogen tisu rekombinan (rtPA)).

Apakah keputusan ulasan kami?

Orang yang menerima iloprost atau iloprost yang digabungkan dengan rtPA mengalami kurang amputasi daripada mereka yang menerima buflomedil. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara jumlah amputasi pada orang yang menerima iloprost berbanding mereka yang menerima iloprost yang digabungkan dengan rtPA.

Kajian tersebut melaporkan kesan buruk, tetapi tidak mengaitkannya dengan rawatan yang berbeza. Kesan buruk termasuklah demam panas, loya, jantung berdebar-debar dan muntah. Tidak ada penarikan diri dari kajian kerana kesan rawatan yang tidak diingini, dan tidak ada kematian.

RCT ini tidak melaporkan mengenai kesakitan yang teruk, kesakitan yang berpanjangan, aktiviti kehidupan seharian, kualiti hidup, bilangan cuti, atau waktu sehingga kembali bekerja.

RCT berkualiti tinggi adalah diperlukan untuk mengesahkan hasil kajian ini, dan untuk menentukan kaedah terbaik untuk merawat kecederaan radang dingin.

Sejauh mana hasilnya boleh dipercayai?

Oleh sebab kami hanya menyertakan satu RCT yang dilaporkan dengan lemah dengan kemungkinan ada masalah dalam reka bentuknya dan dengan bilangan peserta yang kecil, keyakinan kami terhadap penemuannya adalah sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information