Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui jika tocilizumab bermanfaat untuk rawatan penyakit mata tiroid (TED). Para penyelidik Cochrane telah mencari semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati tiada kajian berkaitan.
Mesej utama
Pada masa ini, tidak ada bukti dari kajian yang dirancang dengan baik untuk menunjukkan bahawa tocilizumab berfungsi, dan tidak mempunyai kesan sampingan, untuk orang yang mempunyai TED.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
TED adalah keadaan yang biasa berlaku. TED adalah penyakit autoimun yang bermaksud bahawa sistem imun sendiri menyerang dan merosakkan mata dan soket mata (orbit). Rawatan semasa untuk TED termasuk glucocorticosteroids, radiasi dan pembedahan. Rawatan ini mungkin mempunyai kesan sampingan yang tidak diingini. Tocilizumab adalah ubat yang menindas sistem imun. Ia digunakan untuk merawat penyakit autoimun lain seperti arthritis rheumatoid dan artritis idiopatik remaja sistemik. Tocilizumab telah digunakan untuk merawat orang dengan TED dan ada laporan bahawa ia berfungsi.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Para penyelidik Cochrane mendapati tiada kajian yang lengkap yang memenuhi piawaian untuk disertakan dalam kajian ini.
Adakah ulasan ini terkini?
Penyelidik Cochrane telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 31 Jun 2018.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor's University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my