Bolehkah exenatide, ubat diabetes, diguna untuk merawat penyakit Parkinson?

Soalan ulasan

Untuk menilai keberkesanan dan keselamatan agonis reseptor GLP-1 bagi penyakit Parkinson.

Latar belakang

Orang dengan penyakit Parkinson (PD) mempunyai masalah pergerakan, seperti pergerakan perlahan dan menggeletar semasa rehat. Mereka juga mungkin ada masalah lain seperti kemurungan, kesukaran menelan, dan disfungsi gastrousus. Agonis reseptor peptida-1 seperti glukagon (GLP-1) diguna untuk rawatan diabetes jenis 2. Ia berfungsi dengan merangsang reseptor GLP-1 di pankreas, yang menyebabkan perembesan insulin. Reseptor GLP-1 juga ditemui di dalam otak. Neuron dalam otak menghantar isyarat ke otak dan dari otak dan seluruh badan. Isyarat insulin di otak adalah penting untuk memastikan neuron sihat, tetapi menunjukkan isyarat insulin tidak berfungsi dengan baik di otak orang dengan PD. Para penyelidik berminat untuk mengetahui tentang kesan perlindungan agonis reseptor GLP-1 terhadap neuron, dan cara agonis ini boleh membantu orang dengan penyakit yang mempengaruhi otak, seperti PD.

Ciri-ciri kajian

Kami dapati dua kajian yang menyediakan data untuk sejumlah 104 pesakit (berikutan tiga pesakit yang tercicir). Satu kajian membandingkan exenatide (agonis reseptor GLP-1) dengan plasebo (ubat pura-pura), dan kajian yang satu lagi membandingkan exenatide berbanding tiada rawatan (selain rawatan biasa yang diterima oleh orang ramai). Bukti adalah terkini sehingga Jun 2020.

Keputusan utama

Kami mendapati bukti kepastian rendah yang mencadangkan exenatide memperbaik gejala motor berbanding orang yang mengambil plasebo. Pergerakan diukur 12 minggu selepas pesakit berhenti mengambil exenatide. Kami menemui bukti kepastian rendah orang yang mengambil exenatide, menunjukkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup berkaitan kesihatan (HRQoL). Enam kejadian buruk yang serius (SAE) dilihat dalam kalangan orang yang mengambil exenatide dan dua dalam kalangan orang yang mengambil plasebo, tetapi semuanya dianggap oleh pengarang kajian sebagai tidak berkaitan dengan ubat tersebut.

Kami mendapati bukti kepastian yang sangat rendah dalam kalangan orang yang mengambil exenatide menunjukkan gejala motor lebih baik berbanding orang yang tidak menerima rawatan selain penjagaan biasa mereka. Pergerakan diukur dua bulan selepas pesakit berhenti mengambil exenatide. Kami mendapati bukti kepastian yang sangat rendah mencadangkan exenatide berbanding tiada rawatan mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas HRQoL, dan kami mendapati bukti kepastian yang sangat rendah mencadangkan sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan SAE dalam kalangan orang yang mengambil exenatide.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah. Dalam satu kajian, orang yang tidak mengambil exenatide menerima rawatan biasa mereka sahaja; oleh itu, mereka tahu sama ada mereka diberi rawatan tambahan, dan ini mungkin telah mengubah keputusan kajian.

Kesimpulan

Kami tidak pasti sama ada exenatide memperbaik simptom motor dalam kalangan orang dengan PD. Pembaikan gejala yang ditemui dalam dua kajian kecil tersebut berterusan selama beberapa minggu selepas mereka berhenti mengambil ubat. Ini mungkin bermakna ubat tersebut mengubahsuai proses penyakit dalam beberapa cara. Lebih banyak kajian dengan lebih ramai orang diperlukan supaya kita lebih pasti sama ada agonis reseptor GLP-1 membantu orang dengan PD.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information