Pembaikan endovaskular berbanding pembedahan terbuka untuk diseksi aorta Jenis B kronik yang rumit

Latar belakang

Aorta ialah arteri utama badan. Ia menyalurkan darah ke semua anggota badan dan pangkalnya bermula di jantung. Diseksi aorta adalah penyakit di mana terjadinya koyakan di dinding saluran aorta. Terdapat dua jenis pembedahan aorta: Diseksi Jenis A, berlaku di bahagian aorta yang terdekat dengan jantung (iaitu aorta menaik dan aorta gerbang), dan diseksi Jenis B yang berlaku di bahagian aorta yang lebih jauh dari jantung (bahagian aorta selepas persimpangan saluran arteri subclavian kiri). Jika diseksi aorta Jenis B berlaku tetapi pembedahan segera tidak diperlukan, maka diseksi yang dibiarkan itu lama-kelamaan akan menjadi diseksi kronik (iaitu diseksi yang sudah berusia lebih daripada enam minggu). Masalah komplikasi mungkin berkembang sesudah fasa ini dan mungkin akan memerlukan pendekatan pembedahan, dan halatuju rawatan dalam keadaan ini akan bergantung pada tahap keparahan relatif komplikasi serta risiko intervensi tersebut. Gabungan usia diseksi dan kehadiran komplikasi yang akan memerlukan intervensi adalah sebab kes sebegini diistilahkan sebagai diseksi aorta Jenis B kronik rumit.

Sebelum ini, satu-satunya pilihan rawatan untuk penyakit ini ialah perbaikan bedah secara terbuka. Walaupun penggunaannya meluas, pendekatan sedemikian masih mempunyai risiko komplikasi yang signifikan seperti kegagalan buah pinggang, kelumpuhan (paraplegia), perlunya pembedahan lanjut dan kematian.

Kebelakangan ini, perkembangan dalam bidang kejuruteraan bio-perubatan telah membolehkan perekaan cantuman sten (stent grafts) yang dapat dipasang pada kateter untuk dimasukkan ke dalam saluran darah menggunakan teknik invasif minima. Teknik ini diistilahkan pembaikan aorta torasik (rongga dada) secara endovaskular (TEVAR), dan menurut pendapat sesetengah pihak, teknik ini merupakan pilihan rawatan yang lebih menarik kerana bersifat invasif minimum. Cantuman stent berbeza kalau dibandingkan dengan cantuman yang biasanya digunakan dalam teknik pembedahan terbuka, jadi maklumat lanjut diperlukan untuk menaksir sama ada kaedah ini lebih baik berbanding dengan pendekatan pembedahan terbuka.

Ciri-ciri kajian dan hasil utama

Kami menjalankan carian literatur yang teliti (hingga Ogos 2021) untuk mengenal pasti semua kajian klinikal rawak terkawal yang menjawab kepada soalan ulasan ini. Kami tidak dapat menemui sebarang kajian rawak terkawal yang memenuhi kriteria kemasukanuman kami.

Kepastian bukti

Kami tidak dapat menilai kepastian bukti kerana ketiadaan kajian yang disertakan dalam ulasan ini.

Kesimpulan

Kami tidak dapat melaporkan sebarang bukti untuk membantu profesional penjagaan kesihatan atau pesakit membuat keputusan tentang cara terbaik untuk menguruskan diseksi aorta Jenis B kronik yang rumit. Kajian klinikal rawak atau terkawal berkualiti tinggi yang menangani soalan ini diperlukan. Oleh disebabkan sifat penyakit ini yang ternyata sangat memudaratkan, maka pelaksanaan kajian klinikal sedemikian amat mencabar.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Unit Kawalan Infeksi, Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information