Rangkaian silang kolagen kornea untuk keratitis berjangkit

Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui kesan kromofor yang diaktifkan cahaya bagi perangkaian silang kolagen (PACK-CXL), rawatan yang berpotensi untuk orang dengan keratitis jangkitan bakteria. Keratitis berjangkit adalah jangkitan kornea, yang merupakan tisu jernih berbentuk kubah di bahagian depan mata. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menemui tiga kajian yang relevan.

Mesej-mesej utama
Tiada bukti gabungan PACK-CXL dengan antibiotik standard (ubat-ubatan yang merawat jangkitan bakteria) lebih atau kurang berkesan berbanding antibiotik standard sahaja dari segi penyembuhan lengkap dan kegagalan rawatan. Lima kajian yang sedang berlangsung (1136 peserta) mungkin memberi jawapan lebih baik dalam ulasan kemas kini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
PACK-CXL menggunakan cahaya ultraviolet dari mesin khas untuk menguatkan kornea. Rawatan ini dipanggil ‘perangkaian silang’ kerana ia mempromosi ikatan fiber kolagen di dalam mata. Fiber kolagen berfungsi seperti rasuk sokongan untuk menstabilkan kornea.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami memasukkan tiga kajian dalam ulasan ini yang membandingkan gabungan PACK-CXL dengan antibiotik standard berbanding antibiotik standard sahaja. Kajian ini melibatkan sejumlah 59 peserta dengan keratitis bakteria (59 mata). Susulan dibuat antara 14 hingga 120 hari selepas rawatan. Kajian dilakukan di Mesir, Iran, dan Thailand antara 2010 dan 2014.

Tiada bukti PACK-CXL dengan antibiotik standard lebih berkesan berbanding antibiotik standard sahaja untuk penyembuhan lengkap. Kami berkeyakinan sangat rendah terhadap penemuan ini kerana bilangan peserta yang kecil risiko bias yang tinggi. Tiada bukti kadar kegagalan rawatan yang berbeza antara PACK-CXL dengan antibiotik standard berbanding antibiotik standard sahaja. Kami berkeyakinan rendah terhadap penemuan ini kerana bilangan peserta yang kecil dan risiko bias yang tinggi. Satu kajian yang melibatkan 32 peserta tidak melaporkan kejadian buruk dari PACK-CXL pada 14 hari.

Adakah ulasan ini mutakhir?
Pengarang ulasan mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan hingga 8 Julai 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information