Rawatan berpandukan peptida natriuretik untuk mencegah kematian dan peristiwa kardiovaskular dalam kalangan pesakit dengan faktor risiko penyakit jantung

Soalan ulasan

Kami ingin melihat jika rawatan berpandukan peptida natriuretik (NP) adalah lebih baik daripada penjagaan biasa untuk mencegah kematian dan peristiwa kardiovaskular dalam kalangan pesakit dengan faktor risiko penyakit jantung tetapi tanpa kegagalan jantung.

Latar belakang

Penyakit kardiovaskular (CVD) adalah sekumpulan keadaan yang mempengaruhi jantung dan saluran darah. Ia adalah penyebab utama kematian yang boleh dielakkan di seluruh dunia. Faktor risiko yang meningkatkan kemungkinan seseorang untuk mendapat CVD termasuklah kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, dan obesiti. Peptida natriuretik (NP) adalah hormon yang dihasilkan oleh jantung yang diukur dalam darah. Ia membantu badan untuk menghilangkan cecair, mengendurkan saluran darah, dan mengalirkan natrium ke dalam air kencing. Apabila jantung rosak, badan melepaskan lebih banyak NP untuk cuba meredakan ketegangan jantung. Dengan mengukur tahap NP darah seseorang, dapat mengenal pasti jantung yang telah rosak dan lebih berisiko kematian dan peristiwa kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok. Kami kemudiannya boleh menggunakan maklumat ini untuk mengurangkan risiko kardiovaskular dengan membimbing keputusan tentang penjagaan kardiovaskular mereka (rawatan berpandu NP), seperti ubat yang perlu diambil, penyiasatan yang perlu, dan penyesuaian yang mereka patut buat untuk gaya hidup.

Ciri-ciri kajian

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Julai 2019. Kami memasukkan dua kajian rawak terkawal (di mana peserta berpeluang sama untuk diberi rawatan) melibatkan 1674 peserta dewasa dengan satu atau lebih faktor risiko CVD yang membandingkan rawatan berpandukan NP dengan penjagaan standard. Kami mengecualikan pesakit dengan simptom kegagalan jantung. Purata usia peserta adalah antara 64.1 dan 67.8 tahun. Pesakit disusul antara 2 tahun dan min 4.2 tahun.

Keputusan-keputusan utama

Kesan rawatan berpandukan NP terhadap kematian akibat CVD atau untuk sebarang sebab lain adalah tidak pasti kerana keputusan-keputusan adalah tidak tepat. Bukti berkualiti sederhana mencadangkan rawatan berpandukan NP mungkin mengurangkan bilangan hospitalisasi akibat peristiwa kardiovaskular dan akibat semua sebab dalam kalangan pesakit dengan faktor risiko kardiovaskular. Kami menjangka dalam 1000 pesakit yang menerima penjagaan standard, 163 akan dimasukkan ke hospital akibat peristiwa kardiovaskular, berbanding antara 65 dan 111 pesakit yang menerima rawatan berpandukan NP. Daripada 1000 pesakit dengan faktor risiko kardiovaskular yang menerima penjagaan standard, 601 akan dimasukkan ke hospital untuk sebarang sebab, berbanding antara 457 dan 553 pesakit yang menerima rawatan berpandukan NP.

Bukti berkualiti tinggi menunjukkan rawatan berpandukan NP mengurangkan risiko disfungsi ventrikel (keadaan yang sering mendorong kegagalan jantung) berbanding penjagaan standard. Keputusan kami mencadangkan dalam 1000 pesakit dengan faktor risiko kardiovaskular yang menerima rawatan standard, 87 akan mengalami disfungsi ventrikel, berbanding antara 36 dan 79 pesakit yang menerima rawatan berpandukan NP. Tiada bukti mencadangkan rawatan berpandukan NP mempengaruhi paras NP setelah selesai kajian.

Kualiti bukti

Kualiti bukti berjulat dari rendah ke tinggi merentasi hasil-hasil. Sebab-sebab utama kebimbangan tentang kualiti bukti termasuk risiko bias, kerana pesakit dan kakitangan perubatan yang menjaga pesakit tahu sama ada mereka berada dalam kumpulan kawalan atau intervensi dan ini mungkin mempengaruhi penjagaan yang diterima; beberapa keputusan adalah tidak tepat, dan tidaklah jelas sama ada intervensi tersebut bermanfaat atau memudaratkan. Oleh kerana kami mengenal pasti hanya dua kajian yang sesuai untuk dimasukkan dalam ulasan ini, ulasan keseluruhan adalah terhad.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information