Terapi psikologi untuk wanita yang mengalami keganasan pasangan intim

Soalan ulasan

Keganasan domestik (fizikal, emosi, penderaan seksual dan tingkah laku mengawal oleh pasangan atau bekas pasangan) adalah perkara biasa di seluruh dunia dan menyebabkan masalah kesihatan emosi dan fizikal yang berpanjangan. Terapi psikologi (kaunseling oleh orang yang terlatih) dapat meningkatkan kesihatan mental wanita dan membolehkan mereka fokus pada membuat rancangan keselamatan, mengakses sumber untuk diri mereka sendiri dan anak-anak mereka, dan akhirnya melepaskan diri dari keganasan domestik.

Kami mencari penulisan saintifik di seluruh dunia hingga akhir Oktober 2019 untuk kajian yang membandingkan sekumpulan wanita mangsa keganasan domestik yang menerima terapi psikologi dengan mereka yang tidak, untuk memahami sama ada terapi sedemikian adalah selamat dan berkesan.

Ciri-ciri kajian

Wanita telah ditempatkan secara rawak dalam satu kumpulan (intervensi) atau yang lain (perbandingan). Kami menemui 33 kajian yang melibatkan 5517 wanita, dengan purata usia 37 tahun, dan dua pertiga dari mereka adalah tidak bekerja. Separuh daripadanya sudah berkahwin atau tinggal bersama pasangan, dan separuh daripadanya adalah keganasan domestik yang telah berlaku dalam 12 bulan terakhir. Terapi psikologi kebanyakannya disampaikan secara bersemuka tetapi bervariasi mengikut tempoh rawatan (2 hingga 50 sesi) dan kakitangan yang memberikan terapi (pekerja sosial, jururawat, ahli psikologi, pekerja kesihatan komuniti, doktor keluarga, penyelidik). Wanita dijemput dari tempat penjagaan kesihatan, pusat komuniti dan tempat perlindungan dan pelarian keganasan domestik. Sembilan belas kajian mengukur kemurungan wanita, dua menilai keberkesanan diri (jika wanita percaya bahawa mereka mampu membuat perubahan dalam hidup mereka) dan semua mengukur keciciran dari kumpulan. Kami menggunakan bilangan keciciran untuk mengukur kesan berbahaya. Sebilangan besar kajian mengikuti wanita dalam tempoh enam bulan sejak memulakan kajian.

Keputusan utama

Kami menemui bukti bahawa terapi psikologi mungkin mengurangkan kemurungan dan dapat mengurangkan gejala kegelisahan bagi wanita yang telah mengalami keganasan domestik (enam hingga 12 bulan setelah terapi). Terapi psikologi nampaknya tidak menimbulkan bahaya. Namun, kami tidak pasti sama ada terapi psikologi meningkatkan keberkesanan diri, kesihatan mental, kualiti hidup, sokongan sosial, penggunaan perkhidmatan kesihatan dan keganasan domestik, perancangan keselamatan atau mengurangkan gangguan tekanan selepas trauma dan pendedahan semula kepada sebarang bentuk keganasan domestik.

Secara keseluruhan, terdapat keperluan untuk lebih banyak kajian dengan hasil yang konsisten pada titik tempoh susulan yang serupa kerana kami tidak dapat menggabungkan kebanyakan penyelidikan untuk memberikan gambaran keseluruhan. Oleh itu, sementara wanita yang mengalami keganasan rumah tangga boleh dibantu oleh terapi psikologi untuk meningkatkan kesihatan emosi mereka, yang boleh memenuhi keperluan semasa mereka berkenaan keselamatan, sokongan dan penyembuhan holistik dari trauma yang kompleks, kami tidak pasti sama ada terapi psikologi meningkatkan aspek-aspek ini dalam kehidupan mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information