Soalan ulasan
Kami menyemak semula bukti kesan terapi fizikal yang dapat membantu keabnormalan postur dalam kalangan pengidap sistik fibrosis.
Latar belakang
Sistik fibrosis adalah penyakit genetik yang menyebabkan masalah pada beberapa organ badan, terutamanya paru-paru. Terkini, keabnormalan postur telah dilihat boleh berlaku disebabkan oleh kemaraan penyakit. Beberapa terapi fizikal yang menggalakkan regangan dan pengukuhan otot-otot yang bersambung dengan tulang belakang dapat membantu mengurangkan kesakitan dan meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan penghidap penyakit sistik fibrosis.
Tarikh carian
Bukti ini adalah terkini sehingga: 19 Mac 2020.
Ciri-ciri kajian
Kami telah memasukkan dua kajian dalam ulasan ini yang melibatkan 50 peserta berumur antara 17 dan 58 tahun dan didiagnosa dengan sistik fibrosis dan keabnormalan postur. Kajian tersebut membandingkan terapi manual (segala terapi fizikal yang menggalakkan relaksasi otot serta mobilisasi tulang belakang seperti urutan, mobilisasi spina) dengan penjagaan biasa (rawatan biasa yang sering mereka terima). Para peserta ditempatkan dalam setiap kumpulan rawatan secara rawak. Satu kajian telah dijalankan ke atas pesakit dalam hospital yang berlangsung selama 20 hari dan kajian kedua adalah ke atas pesakit luar yang berlangsung selama 3 bulan. Kebanyakan hasil dilaporkan dalam kedua-dua kajian.
Dapatan utama
Kajian-kajian ini tidak mendapati apa-apa perbezaan antara terapi manual dengan penjagaan biasa dalam merubah kecacatan badan. Kami tidak boleh menggabungkan keputusan kualiti hidup atau skor kesakitan kerana hal itu terlalu berbeza. Kami tidak dapat mencari perbezaan antara terapi manual dengan penjagaan biasa bagi fungsi paru-paru. Hanya satu kajian (15 peserta) yang telah mengukur perubahan dalam jarak berjalan kaki yang kelihatan menyokong terapi manual berbanding penjagaan biasa, tetapi hal ini tidak jelas kerana terdapat julat yang besar dalam keputusan. Satu kajian melaporkan bahawa para peserta dari kumpulan terapi manual sangat menyukai rawatan yang diterima dan hal ini menyebabkan kepatuhan kepada rawatan juga tinggi. Tiada satu kajianpun yang melaporkan kesan sampingan.
Kualiti bukti
Secara keseluruhan, kualiti bukti bagi semua hasil yang telah dipertimbangkan hanyalah rendah dan tersangat rendah. Bukti berkualiti rendah bermakna keyakinan kami terhadap kesan manual terapi adalah terhad, dan kesan yang sebenar mungkin sangat berbeza. Kami fikir pada hakikatnya pesakit tahu rawatan yang mereka telah terima mampu mempengaruhi keputusan dalam merubah kualiti hidup, perubahan dalam tahap kesakitan, perubahan dalam fungsi paru-paru, tetapi hal ini mungkin tidak menjejaskan hasil-hasil lain. Oleh itu, kami masih tidak yakin bahawa terapi manual mampu menambah baik hasil yang kami anggap penting dalam rawatan keabnormalan postur.
Diterjemahkan oleh Nurul Shafinaz Binti Mohd Aswadi (RCSI&UCD Malaysia College). Disunting oleh Rosediani Muhamad (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my