Soalan ulasan
Adakah imejan motor (MI) merupakan pendekatan yang berkesan untuk memperbaik gaya jalan (kebolehan berjalan) dalam orang selepas strok?
Latar belakang
Kehilangan upaya gaya jalan pasca strok menjejaskan kebebasan, mobiliti, aktiviti kehidupan seharian, dan penyertaan dalam aktiviti komuniti. MI adalah sejenis terapi yang menggunakan imaginasi pergerakan (tanpa benar-benar bergerak). Ia telah disyorkan dalam pemulihan pesakit strok untuk mempromosikan pembelajaran semula pergerakan.
Ciri-ciri kajian
Tarikh carian pengulas yang terbaru adalah 24 Februari 2020. Pengulas menyertakan 21 kajian, dengan 762 peserta (60% lelaki dan 40% wanita), dan purata usia antara 50 hingga 78 tahun. Peserta yang disertakan dalam kajian-kajian itu berada pada titik waktu yang berbeza selepas strok, dan etiologi (penyebab strok) juga berbeza. Semua peserta dapat berjalan dengan beberapa kesukaran. Semua kajian yang disertakan membandingkan latihan MI dengan intervensi lain, dan latihan fizikal adalah terapi yang paling banyak digunakan dalam kumpulan perbandingan (kawalan). Dalam kumpulan yang dikaji, kebanyakan kajian yang disertakan menggunakan MI digabungkan dengan latihan fizikal, dan menggunakan MI kinestetik (apabila seseorang membayangkan diri mereka) atau visual (apabila seseorang memerhati orang lain). Tempoh rawatan untuk kumpulan yang dikaji antara dua hingga lapan minggu. Secara umumnya, hanya tiga dari kajian yang disertakan menjalankan penilaian susulan selepas intervensi.
Keputusan utama
Pengulas menemui bukti kepastian sangat rendah bahawa MI sahaja atau digabungkan dengan pemerhatian tindakan (sejenis gambaran yang mana pesakit memerhati pergerakan) atau latihan fizikal mengatasi terapi lain dalam meningkatkan kelajuan berjalan dalam jangka masa pendek. Walau bagaimanapun, terdapat bukti kepastian sangat rendah bahawa MI tidak lebih bermanfaat daripada terapi lain untuk meningkatkan fungsi motor dan mobiliti pada akhir rawatan. Bukti tidak mencukupi untuk menilai kesan MI terhadap kebebasan melakukan aktiviti kehidupan seharian dan ketahanan berjalan selepas strok, dan untuk menilai kesan jangka sederhana atau panjang MI terhadap semua hasil yang dinilai. Walaupun pelaporan yang lemah, tiada peristiwa buruk berkaitan MI dan terapi lain diperhatikan. Adalah tidak diketahui sama ada gaya berjalan orang yang pernah mengalami strok boleh mendapat manfaat dari latihan MI berbanding plasebo atau tanpa intervensi.
Kepastian tentang bukti
Pengulas mengelaskan kepastian tentang bukti sebagai sangat rendah kerana banyak kajian mempunyai masalah metodologi dan jumlah peserta yang kecil, dan tidak mengikuti garis panduan dalam melaporkan sesuatu kajian.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting ole h Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my