Bolehkah ujian untuk mengenal pasti nodus limfa utama pada wanita dengan kanser endometrium dapat mendiagnosis dengan tepat jika barah itu merebak ke nodus limfa?

Isunya
Wanita yang menghidap kanser endometrium (kanser yang berpunca daripada lapisan rahim) mungkin mempunyai sel kanser yang tersebar ke nodus limfa di pelvis dan/atau kawasan para-aorta (saluran darah utama dalam rongga abdominal atas) dan memerlukan rawatan radioterapi tambahan, dengan atau tanpa kemoterapi, setelah histerektomi permulaan. Kajian terdahulu melihat kesan membuang sebanyak mungkin nodus limfa pelvis (limfadenektomi), tetapi tidak menunjukkan manfaat untuk kelangsungan hidup. Walau bagaimanapun, limfadenektomi sering menyebabkan masalah dengan limfedema (bengkak kaki) dan limfosit (koleksi cecair limfa). Biopsi nodus limfa sentinel (SLNB) melibatkan pengenalpastian SLN pertama yang mengalirkan tumor, menggunakan pewarna atau perunut radioaktif, atau kedua-duanya. SLN dikeluarkan dan diperiksa di bawah mikroskop untuk memeriksa sel barah. Keputusan rawatan tambahan mungkin berubah bergantung kepada penemuan ini.

Mengapa kajian ini penting?
Sebilangan kajian menggunakan pewarna atau agen yang dapat dikesan untuk mengenal pasti SLN pada wanita dengan kanser rahim. Tidak jelas sama ada semua agen ini cukup tepat untuk meramalkan wanita yang mempunyai penyebaran kanser ke nodus limfa dan sama ada lebih baik menyuntikkan pewarna ke serviks atau otot rahim. Ulasan ini meringkaskan bukti dan menghasilkan anggaran keseluruhan ketepatan relatif ujian yang ada.

Bagaimana ulasan dilakukan?
Pengulas menyertakan kajian yang menguji ketepatan agen perunut untuk mengenal pasti SLN terhadap kaedah standard membuang semua nodus pelvis, dengan atau tanpa nodus limfa para-aorta. Pengulas membataskan kajian kepada mereka yang memeriksa SLN dengan mengambil beberapa pelbagai hirisan nodus dan mewarnai sel barah menggunakan penanda antibodi (imunohistokimia (IHC)) sebelum memeriksanya di bawah mikroskop (ultra peringkat).

Apakah penemuannya?
Pengulas merangkumkan 33 kajian (2237 wanita) yang menilai teknik yang digunakan untuk mengenal pasti pengaliran SLN dari rahim. Ini termasuk: 11 untuk pewarna biru sahaja; empat untuk teknetium-99m (bahan radioaktif) sahaja; sembilan untuk pewarna hijau indosianina (ICG) yang berpendar di bawah cahaya infra merah; 12 yang menggunakan kombinasi pewarna biru dan teknetium-99m dan satu yang menggunakan kombinasi ICG dan teknetium-99mand dengan perunut disuntik ke serviks (lpangkal rahim) atau langsung ke otot rahim, atau secara kombinasi. Secara keseluruhan, pelaporan metodologi adalah lemah, yang membatasi kemampuan pengulas untuk menilai kualiti kajian.

Ujian mempunyai dua atribut.

1. Kemampuan ujian untuk menemukan SLN (kadar pengesanan) berbeza-beza, dengan ujian pewarna biru hanya mengesan SLN pada 77.8% wanita, berbanding dengan 80.9% dengan teknetium-99m sahaja, 86.3% untuk gabungan pewarna biru/teknetium-99m, 92.4% untuk ICG sahaja, 96.7% untuk ICG/pewarna biru dan 100% untuk ICG/teknetium-99m. Sekiranya SLN tidak dikesan, mereka tidak dapat diperiksa untuk sel kanser; oleh itu, wanita ini mungkin perlu menjalani limfadenektomi atau dirawat berdasarkan faktor risiko kanser dalam rahim.

2. Sekiranya sel-sel kanser terdapat di nodus limfa, adakah SLNB mengenal pasti nodus limfa dengan kanser di dalamnya atau adakah ia akan terlepas pandang nodus limfa yang mengandungi kanser? Ini disebut sensitiviti ujian dan kemampuan ujian untuk mengelakkan hasil negatif-palsu. Sekiranya SLN dijumpai, semua ujian dapat mengenal pasti kanser di nodus pelvis/para-aorta dengan ketepatan yang baik (lebih daripada 90% nodus dengan kanser akan dikenal pasti dengan tepat dengan sebarang ujian). Dalam keadaan ini keputusan positif-palsu tidak dapat terjadi, kerana pemeriksaan histologi SLN tidak diubah oleh keputusan daripada sebarang nodus tambahan yang dibuang pada limfadenektomi sistematik.

Apakah maksud ini?
Semua kaedah yang berbeza dapat mengenal pasti SLN, walaupun teknik yang menggunakan ICG, baik bersendirian atau dalam kombinasi dengan pewarna biru atau teknetium-99m, lebih cenderung untuk menjumpai nodus. Sekiranya nodus dijumpai, kemungkinan ianya mengandungi sel kanser; jika SLN tidak mengandungi sel kanser (negatif-SLN), kemungkinan nodus lain mengandungi sel kanser kurang dari 10%. Walau bagaimanapun, ujian ini terhad kepada wanita yang berkemungkinan mempunyai penyakit peringkat awal dan hanya sebilangan kecil sel kanser di dalam nodus limfa. Dalam keadaan nodus atau saluran limfa mengandungi banyak sel kanser, ianya dapat menyekat saluran limfa, memberi kesan kepada saliran limfa, dan mungkin menjadi sebab kegagalan untuk menemui SLN dalam beberapa kajian.

Ulasan ini hanya melihat kepada ketepatan untuk dapat mengenal pasti SLN dan tidak menyatakan kepada kita sama ada ini menawarkan kelebihan kelangsungan hidup kepada wanita dengan kanser rahim peringkat awal. Ujian klinikal jenis lain diperlukan untuk menunjukkan kepada kita sama ada melakukan SLNB, untuk membimbing keperluan rawatan tambahan, meningkatkan kelangsungan hidup berbanding dengan mendasarkan keputusan rawatan pada faktor risiko yang ditentukan daripada pemeriksaan rahim sahaja. Ini penting untuk diketahui, kerana kajian sebelumnya tidak menunjukkan kelebihan untuk kelangsungan hidup dengan membuang semua nodus limfa pelvis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information