Perancangan penjagaan lanjutan untuk orang dewasa dengan kegagalan jantung

Soalan ulasan

Untuk menyiasat bagaimana strategi perancangan penjagaan lanjutan (ACP) mempengaruhi orang dengan kegagalan jantung.

Latar belakang

Orang dengan kegagalan jantung hadir dengan pelbagai gejala, seperti sesak nafas dan fatig, dan gejala-gejala sering rumit dengan eksaserbasi dan pemulihan berkala. Garis panduan klinikal semasa menekankan kepentingan membincangkan penjagaan masa depan dengan orang dengan kegagalan jantung serta keluarga mereka. Perancangan penjagaan lanjutan (ACP) adalah proses membincangkan pelan penjagaan masa depan individu (cth: jenis penjagaan/rawatan yang individu lebih suka terima, persekitaran atau latar di mana penjagaan/rawatan berlaku) mengikut nilai dan keutamaan mereka. Interaksi ini melibatkan individu, penyedia penjagaan kesihatan yang bertanggungjawab, ahli keluarga, dan penjaga/penyokong lain. ACP boleh meningkatkan perbincangan tentang penjagaan masa depan pesakit dan dokumentasi keutamaan penjagaan individu. Walau bagaimanapun, adalah tidak jelas sama ada ACP bermanfaat dalam memperbaiki kualiti hidup, kemurungan, dan kepuasan keseluruhan penjagaan dalam kalangan orang dengan kegagalan jantung.

Ciri-ciri kajian

Pada Oktober 2019, kami mencari kajian-kajian yang menilai kesan ACP dalam kalangan orang dengan kegagalan jantung. Kami memasukkan kajian yang memberi ACP, termasuk pelbagai kaedah seperti perbincangan dan pertimbangan nilai-nilai dan keutamaan individu untuk penjagaan masa depan dan rawatan perubatan berbanding strategi penjagaan biasa.

Keputusan utama

Ulasan ini memasukkan sembilan kajian melibatkan 1242 peserta dan 426 keluarga/penjaga. Data dari tujuh kajian (876 peserta) menunjukkan ACP boleh meningkatkan penyelesaian dokumentasi oleh kakitangan perubatan mengenai perbincangan dengan peserta tentang proses ACP dan boleh memperbaiki kemurungan peserta. Mortaliti semua sebab mungkin meningkat dalam kalangan peserta yang menerima ACP. Kesan ACP terhadap kualiti hidup masih tidak pasti akibat kemasukan kajian-kajian kecil di dalam meta-analisis kami. Ini digambarkan oleh fakta dari hanya satu kajian yang melaporkan sama ada penjagaan akhir hayat yang diterima menepati keutamaan para peserta. Begitu juga, hanya satu kajian yang melaporkan kualiti komunikasi semasa ACP antara peserta dan penyedia penjagaan kesihatan. Oleh itu, kesan ACP sama ada penjagaan akhir hayat memenuhi keutamaan peserta dan kualiti komunikasi adalah tidak pasti. Tiada kajian menilai kepuasan dengan penjagaan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah/sangat rendah. Oleh kerana bilangan kajian dan pesakit dalam ulasan ini adalah kecil, kesan-kesan ACP adalah terhad. Terdapat keperluanyang jelas untuk bukti berkualiti tinggi dari kajian-kajian yang besar untuk meneroka sepenuhnya kesan ACP bagi orang dengan kegagalan jantung, khususnya kualiti hidup mereka dan sama ada penjagaan akhir hayat yang diterima selepas ACP memenuhi keutamaan mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi Mara). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Meaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrae@rcsiucd.edu.my

Tools
Information