Adakah pembalut dan alat pengikat dapat mencegah komplikasi bagi orang dengan kateter arteri periferi?

Mesej utama

- Kami sangat tidak pasti sama ada pembalut dan alat pengikat yang berbeza mengurangkan risiko komplikasi atau kegagalan kateter arteri periferi.

- Kami menemui lima kajian yang menyelidik ini, tetapi kami tidak begitu yakin dengan keputusannya disebabkan saiz sampel yang kecil dan bilangan kejadian hasil yang sedikit.

- Penyelidikan masa depan harus membandingkan produk yang sedang digunakan untuk mengikati dan membalut kateter arteri di hospital, dengan kaedah berkualiti tinggi dan bilangan orang yang besar yang menerima kateter.

- Adalah penting bagi pesakit dan penjaga untuk membincangkan risiko dan manfaat pembalut dan alat pengikat kateter arteri yang berbeza dengan penyedia penjagaan kesihatan mereka. Penyedia penjagaan kesihatan boleh membantu pesakit memilih alat yang terbaik berdasarkan keperluan individu.

Apakah itu kateter arteri periferi?

Kateter arteri periferi adalah tiub nipis yang dimasukkan ke dalam arteri pesakit melalui kulit mereka. Kateter ini biasanya digunakan di unit rawatan intensif dan kritikal atau di bilik pembedahan untuk memantau tekanan darah atau apabila darah pesakit perlu diambil secara teratur. Pesakit ini mungkin berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan kateter untuk menyokong penjagaan.

Walaupun penting, kateter arteri sering gagal (berhenti berfungsi) dan perlu dimasukkan semula. Terdapat pelbagai jenis pembalut dan alat pengikat yang bertujuan untuk memastikan kateter arteri berada di tempatnya dan berfungsi sepenuhnya. Tidak jelas pembalut atau alat pengikat mana yang paling berkesan untuk mengekalkan fungsi kateter arteri dan mencegah komplikasi kateter arteri.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui pembalut atau alat pengikat mana yang paling berkesan untuk mencegah kateter arteri daripada berhenti berfungsi akibat jangkitan dan komplikasi termasuk penyingkiran, penyumbatan (sekatan), dan kesan yang tidak diingini pada orang yang dirawat di hospital.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang direka dengan baik yang membandingkan pelbagai jenis pembalut dan alat pengikat untuk kateter arteri. Kami kemudian membandingkan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui lima kajian yang melibatkan 1228 orang dengan 1228 kateter arteri. Kajian-kajian tersebut membandingkan pembalut dan alat pengikat yang berbeza serta merangkumi empat perbandingan berikut.

1. Poliuretana piawai ditambah pelekat tisu berbanding poliuretana piawai (pembalut jernih (lutsinar) dengan 'gam super' gred perubatan berbanding pembalut jernih)

2. Poliuretana bersempadan berbanding poliuretana piawai (pembalut bersempadan berbanding pembalut jernih)

3. Poliuretana piawai ditambah alat pengikat tanpa jahitan berbanding poliuretana piawai (pembalut jernih dengan alat penambat kulit berbanding pembalut yang jernih)

4. Pembalut dengan pengikat bersepadu berbanding poliuretana piawai (pembalut bersempadan dengan pembalut pengikat tambahan berbanding pembalut jernih)

Keputusan-keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada penggunaan produk pembalut dan alat pengikat berikut mengurangkan risiko kegagalan kateter arteri atau jangkitan aliran darah berkaitan kateter: poliuretana piawai, poliuretana bersempadan, pelekat tisu, alat pengikat tanpa jahitan, dan pembalut dengan pengikat bersepadu.

Kami juga tidak pasti jika menggunakan produk pembalut dan pengikat di atas mengurangkan risiko kateter arteri terkeluar, tersumbat, atau kejadian buruk (tidak diingini); atau jika produk-produk ini meningkatkan kepuasan pesakit.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak begitu yakin dengan bukti yang tersedia ada kerana bilangan peserta disertakan yang rendah dan bilangan kejadian yang sedikit dalam kajian-kajian ini. Oleh kerana sifat intervensi, peserta dan penyelidik yang menyedari rawatan mana yang diterima oleh peserta. Ini mungkin memberi kesan kepada cara peserta yang menerima intervensi yang berbeza dirawat. Kajian lanjut boleh mengkaji kesan produk pembalut dan pengikat dalam populasi yang lebih khusus, termasuk kanak-kanak dan bayi yang baru lahir. Di samping itu, satu set hasil standard akan menyokong para penyelidik untuk mengukur hasil yang sama, merentasi titik pengukuran yang serupa untuk membantu pengumpulan data. Bukti dalam bidang ini sedang berkembang dan penyelidikan masa depan dapat membantu menangani soalan klinikal yang tidak dijawab.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 16 Mei 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Disunting oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia).

Tools
Information