Latar belakang
Tendinopati patela adalah satu keadaan menyakitkan yang lazim mempengaruhi atlet yang melakukan banyak latihan, sebagai contoh mereka yang bermain bola tampar dan bola keranjang. Ramai orang dengan keadaan ini tidak dapat meneruskan sukan pilihan mereka pada tahap pertandingan atau intensiti latihan. Terdapat banyak rawatan bagi keadaan ini, yang paling lazim adalah sejenis senaman yang disebut senaman eksentrik (di mana tendon berada dalam ketegangan sementara otot memanjang).
Rawatan lain untuk tendinopati patela termasuklah analgesia oral dan topikal (ubat pelega sakit yang diambil secara oral atau diaplikasi pada kulit), pelbagai jenis suntikan (contohnya kortikosteroid) dan pembedahan. Pembedahan diguna jika rawatan lain gagal, dan rawatan ini dinilai dalam ulasan ini.
Ciri-ciri kajian
Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Julai 2018. Kami mencari pangkalan data dalam talian untuk semua kajian (khususnya kajian rawak terkawal) yang membandingkan rawatan pembedahan dengan rawatan bukan pembedahan dalam kalangan dewasa dengan tendinopati patela. Kami mendapati dua kajian; mereka membandingkan pembedahan terbuka dengan senaman esentrik (satu kajian yang melibatkan 40 orang) dan pembedahan artroskopik dan suntikan menskleros (ini menghasilkan parut dan menyekat salur darah yang membekal serat saraf kepada tendon yang berpenyakit) (satu kajian melibatkan 56 orang). Kajian telah dijalankan di persekitaran pesakit luar di dua buah negara (Norway dan Sweden). Majoriti orang dalam kajian adalah lelaki, dengan purata umur di antara 27 hingga 31 tahun, dan purata tempoh simptom 24 hingga 33 bulan. Kajian dijalankan tanpa pembiayaan (sokongan kewangan) daripada industri (syarikat perubatan atau peranti), tetapi sesetengah penulis daripada satu kajian menerima pendanaan daripada syarikat farmaseutikal selain daripada pendanaan penyelidikan daripada sumber bukan industri.
Keputusan utama
Berbanding senaman esentrik, pembedahan terbuka menawarkan sedikit manfaat pada 12 bulan (hasil keputusan individu seperti berikut).
Sakit (skor lebih rendah bermakna kurang sakit)
Diperbaik 4% (antara 4% lebih teruk hingga 12% lebih baik) atau dengan 0.4 mata pada skala sifar hingga 10 mata.
Orang yang telah dibedah menilai sakit sebanyak 1.3 mata.
Orang yang membuat senaman esentrik menilai sakit sebanyak 1.7 mata.
Penilaian kejayaan global (mereka yang tidak melaporkan sakit pada 12 bulan)
Kurang dari 10% orang tidak sakit (antara 38% kurang kepada 18% lebih), atau kurang 10 orang daripada kesuluruhan 100 orang .
Dengan pembedahan, dua puluh lima daripada 100 orang tidak sakit.
Dengan senaman esentrik, tiga puluh lima daripada 100 orang tidak sakit.
Penarikan diri
Tiada peserta dari mana-mana kumpulan menarik diri dari kajian.
Kajian tidak melaporkan pembaikan kualiti hidup atau peristiwa buruk (termasuk ruptur tendon).
Berbanding dengan suntikan menskleros, pembedahan artroskopik (lubang kunci) menawarkan beberapa pengurangan sakit dan pembaikan dalam penilaian kejayaan global peserta pada 12 bulan (keputusan untuk hasil individu adalah seperti berikut; kajian lanjutan mungkin mengubah keputusan ini).
Sakit (skor lebih rendah bermakna kurang sakit)
Diperbaik 28% (antara 15% hingga 42% lebih baik) atau 28 mata pada skala sifar hingga 100 mata.
Orang yang dibedah menilai sakit mereka sebanyak 12.8 mata.
Orang yang menerima suntikan menskleros menilai sakit mereka pada 41.1 mata.
Penilaian kejayaan global (kejayaan yang dilapor oleh peserta, skor lebih tinggi adalah lebih baik)
Diperbaik 34% (antara 19% hingga 49% lebih baik) atau sebanyak 33.9 mata pada skala sifar kepada 100 mata.
Orang yang dibedah menilai sakit mereka sebanyak 86.8 mata.
Orang yang menerima suntikan menskleros menilai sakit mereka sebanyak 52.9 mata.
Penarikan diri
Satu orang dari setiap kumpulan (4%) menarik diri daripada kajian dengan alasan yang tiada kaitan dengan rawatan.
Kajian tersebut tidak melaporkan pembaikan kualiti hidup, pembaikan skor fungsi atau peristiwa buruk (termasuk ruptur tendon).
Kualiti bukti
Kami membuat keputusan bukti adalah kepastian rendah kerana kelemahan dalam reka bentuk kajian yang mungkin terlebih anggar manfaat rawatan. Misalnya, orang yang terlibat dalam kajian ini menyedari rawatan yang mereka terima, kajian melaporkan secara selektif beberapa keputusan tetapi tidak yang lainnya, dan terdapat ketidaktepatan dalam keputusan akibat bilangan peserta dan kajian yang kecil. Oleh itu, kami tidak pasti jika pembedahan mempunyai sebarang manfaat berbanding senaman eksentrik atau suntikan menskleros untuk merawat tendinopati patela dalam kalangan dewasa. Kajian lanjut mungkin mengubah keputusan ini.
Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi linoby@uitm.edu.my