Apakah hiperparatiroidisme primer?
Hiperparatiroidisme primer (PHPT) adalah sejenis penyakit di mana kelenjar paratiroid (empat kelenjar terletak berhampiran atau pada tiroid di leher) membesar dan menghasilkan terlalu banyak hormon paratiroid. Penyakit ini menjejaskan 1% orang dewasa. Pengeluaran berlebihan hormon paratiroid akan mengganggu tahap kalsium di dalam badan, yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan lain, seperti osteoporosis (penyakit yang melemahkan tulang) dan patah tulang, penyakit buah pinggang kronik, penyakit kardiovaskular, dan disfungsi kognitif (penurunan keupayaan mental), serta pengurangan kualiti hidup berkaitan kesihatan.
Bagaimanakah hiperparatiroidisme dirawat?
Paratiroidektomi (pembedahan pembuangan kelenjar atau kelenjar paratiroid yang tidak normal) ialah pilihan utama rawatan untuk penghidap PHPT. Paratiroidektomi dijangka dapat menyembuhkan PHPT dan memperbaiki komplikasi tidak diingini berkaitan penyakit ini.
Apa yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada paratiroidektomi adalah lebih baik daripada terapi perubatan atau pemerhatian mudah untuk menyembuhkan PHPT ringan tanpa gejala dan memperbaiki komplikasi yang berkaitan penyakit seperti osteoporosis, ketumpatan tulang yang rendah, batu karang, penyakit buah pinggang, penyakit kardiovaskular (penyakit yang menjejaskan jantung dan saluran darah) dan disfungsi kognitif. Kami juga ingin menentukan sama ada paratiroidektomi mempunyai sebarang kesan yang tidak diingin dan sama ada ia akan meningkatkan kualiti hidup berkaitan kesihatan penghidap PHPT.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian rawak terkawal (RCT) yang membandingkan paratiroidektomi dengan pilihan rawatan yang bukan pembedahan pada orang dewasa yang menghidap PHPT. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang telah kami temui?
Kami mengenal pasti hanya lapan RCT, yang mendaftarkan 433 orang dewasa. Secara keseluruhan, 164 orang dewasa menjalani paratiroidektomi, dan 163 (99%) telah sembuh enam hingga 24 bulan selepas pembedahan. Berbanding dengan terapi perubatan atau pemerhatian mudah, paratiroidektomi mungkin boleh menghasilkan peningkatan besar dalam kadar kesembuhan. Kami tidak mempunyai maklumat tentang kesan paratiroidektomi pada osteoporosis atau penyakit kardiovaskular. Walau bagaimanapun, kajian yang disertakan melaporkan langkah-langkah yang berkait rapat dengan keadaan ini. Paratiroidektomi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada ketumpatan mineral tulang belakang dan pinggul selepas satu hingga ke dua tahun, tetapi kami sangat tidak pasti dengan keputusan ini. Bukti mengenai kesan paratiroidektomi pada pecahan ejeksi ventrikel kiri (peratusan darah yang meninggalkan ruang jantung kiri pada setiap degupan jantung) juga sangat tidak pasti. Paratiroidektomi, berbanding dengan pemerhatian, mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada kejadian teruk yang tidak diingini atau pada kemasukan ke hospital untuk pembetulan tahap kalsium yang luar biasa tinggi dalam darah. Bukti yang didapati juga sangat tidak pasti mengenai kesan paratiroidektomi terhadap kematian akibat sebarang sebab. Akhirnya, tiga RCT melaporkan keputusan mengenai kualiti hidup berkaitan kesihatan. Penemuan adalah sangat berbeza antara satu sama lain, dan kami tidak pasti tentang kesan paratiroidektomi terhadap kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan berbanding dengan pemerhatian.
Apakah batasan bukti?
Kami hanya sederhana yakin terhadap bukti mengenai kadar penyembuhan kerana laporan RCT tidak mengandungi maklumat yang mencukupi untuk membuktikan kaedah mereka boleh dipercayai. Walau bagaimanapun, kami mempunyai sedikit atau sangat sedikit keyakinan pada keputusan yang lain kerana kaedah kajian yang digunakan mungkin tidak boleh dipercayai, kajian tidak mengukur kesan PHPT secara langsung, dan kajian mendaftarkan sedikit peserta.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 26 November 2021.
Diterjemah oleh Alya Nur Asmalina binti Ahmad Nazri (RCSI UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my