Adakah pendedahan kepada bau dan rasa susu mempercepat penyusuan melalui tiub dalam kalangan bayi pramasa?

Mesej utama

• Pendedahan kepada bau dan rasa susu melalui penyusuan tiub boleh memberi sedikit atau tiada kesan kepada masa yang diambil oleh bayi pramasa untuk mencapai hisapan penuh.
• Kami tidak menemui bukti sebarang kesan yang tidak diingini pendedahan kepada bau dan rasa susu dengan penyusuan tiub dalam kalangan bayi baru lahir .

Apa itu penyusuan tiub?

Bayi yang lahir pramasa (sebelum 37 minggu kehamilan) seringkali perlu diberi penyusuan melalui tiub halus yang dimasukkan melalui mulut (tiub orogastrik) atau hidung (tiub nasogastrik) ke dalam perut sehingga mereka dapat menghisap semua penyusuan.

Mengapakah bau dan rasa susu penting untuk bayi yang diberi penyusuan tiub?

Pada awalnya, hanya isipadu kecil susu diberi dan beransur-ansur ditambah bergantung kepada keupayaan bayi menerima susu tersebut. Bau dan rasa memain peranan ketara dalam membantu pencernaan dan penyerapan makanan, oleh kerana bayi yang menyusu melalui tiub mungkin tidak mengalami bau atau rasa susu, mereka mungkin mengambil lebih masa untuk menerima isipadu susu yang lebih banyak.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika mendedahkan bayi kepada bau dan rasa susu sebelum atau semasa penyusuan melalui tiub boleh membantu mereka menerima isipadu susu lebih banyak dengan lebih cepat dan memperbaik pertumbuhan dan perkembangan keseluruhan mereka. Kami juga ingin tahu jika kaedah ini mempunyai sebarang kesan tidak diingini .

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat mendedahkan bayi pramasa kepada bau atau rasa (atau kedua-duanya) susu melalui tiub, berbanding tanpa pendedahan sedemikian. Kami membanding dan merumus keputusan kajian-kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan beberapa faktor seperti kaedah kajian dan bilangan bayi yang disertakan.

Apakah yang kami temui?

Kami mengenal pasti lapan kajian yang lengkap melibatkan 1277 bayi pramasa yang dimasukkan ke unit penjagaan intensifi neonatal.

Pendedahan kepada bau dan rasa susu melalui penyusuan tiub mempunyai sedikit atau tiada kesan kepada masa untuk mencapai hisapan penuh, tetapi keputusan-keputusan sangat tidak pasti. Dua kajian melaporkan tiada bayi mempunyai sebarang kesan tidak diingini berkaitan pendedahan kepada bau dan rasa susu dengan penyusuan tiub. Pendedahan kepada bau dan rasa susu mungkin ada sedikit atau tiada kesan ke atas tempoh pemakanan intravena (penyusuan melalui vena), masa untuk mencapai penyusuan enteral penuh (penyusuan melalui tiub ke dalam perut), atau kepada risiko ‘necrotising enterocolitis’ ( penyakit usus yang serius), walaupun keputusan untuk tempoh penyusuan enteral penuh adalah sangat tidak pasti. Pendedahan kepada bau dan rasa susu mungkin ada sedikit kesan atau tiada kesan ke atas risiko mendapat jangkitan lebih daripada dua hari selepas kelahiran.

Apakah batasan bukti?

Kami sedikit yakin terhadap bukti kerana:

• kami mengenal pasti segelintir kajian-kajian;
• kebanyakan kajian adalah kecil dan memberi jenis pendedahan berbeza kepada bau dan rasa;
• dalam kebanyakan kajian, doktor dan ibu bapa mengetahui rawatan yang bayi mereka terima; dan
kajian-kajian tidak menyiasat kesemua hasil yang kami ingin tahu.

Adakah ini bukti yang terkini?

Ulasan ini adalah terkini sehingga April 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nur Adila Azman (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information