Membandingkan rawatan untuk kerosakan gigi lanjut

Mesej utama

Untuk gigi bayi (primer) yang rosak, meletakkan mahkota logam tersedia pada gigi atau hanya mengeluarkan sebahagian daripada kerosakan sebelum meletakkan tampalan mungkin lebih baik daripada rawatan konvensional mengeluarkan semua kerosakan sebelum tampalan.

Untuk gigi dewasa (kekal) yang rosak, mengeluarkan sebahagian kerosakan sebelum menampal gigi, atau menambah tahap kedua rawatan ini yang mana lebih banyak kerosakan dikeluarkan selepas beberapa bulan, mungkin lebih baik daripada rawatan konvensional.

Apakah keadaannya?

Karies gigi (kerosakan gigi) adalah sangat lazim dan boleh menyebabkan kesakitan, kesukaran makan dan bercakap, dan malu. Gigi terdiri daripada tiga lapisan: enamel (lapisan luar yang keras), dentin (lapisan dalaman yang keras), dan pulpa (saraf dan saluran darah). Mulut kita mengandungi bakteria, yang membiak dalam filem melekit pada gigi kita yang dikenali sebagai plak gigi. Bakteria hidup dengan gula daripada diet kita dan mengubahnya kepada asid yang melarutkan gigi. Air liur boleh membalikkan proses ini, tetapi jika terdapat terlalu banyak gula dalam diet atau bakteria tidak dikeluarkan dengan cukup kerap dengan memberus gigi maka asid terus menghakis gigi. Ini boleh berkembang menjadi dentin, akhirnya menyebabkan lubang pada gigi (dikenali sebagai lesi karies berlubang). Jika ia sampai ke pulpa, ia boleh menyebabkan jangkitan.

Bagaimanakah keadaan ini dirawat?

Lesi karies dentin/berlubang boleh dirawat dengan pengeluaran sempurna bahagian gigi yang rosak dan meletakkan tampalan. Doktor gigi memanggil ini pembuangan tisu karies tidak selektif dan pemulihan konvensional (CR). Walaupun berkesan, ini berisiko melemahkan gigi atau menyebabkan masalah jika pulpa gigi terdedah. Alternatif lebih baru melibatkan pembuangan kurang atau tiada tisu karies:

1. Pembuangan tisu karies selektif (atau ekskavasi selektif (SE)): kerosakan di sekitar pinggir rongga dikeluarkan sepenuhnya, tetapi dekat dengan pulpa, beberapa dentin yang dilembutkan dibiarkan. Tampalan kemudian dimasukkan.

2. Pembuangan tisu karies berturut (SW): seperti SE, kebanyakan bahagian yang mereput dikeluarkan, tetapi dentin lembut dibiarkan di bahagian yang dekat dengan pulpa dan rongga diisi menggunakan bahan-bahan seperti komposit. Selepas selang beberapa bulan, lebih banyak dentin yang dilembutkan dikeluarkan.

3. Menutup lesi karies menggunakan bahan tampal: lapisan yang nipis diperbuat dari resin atau ionomer kaca dicat pada gigi yang rosak, mengeras dalam beberapa minit dan menyebabkan karies tidak aktif dengan menghentikan bakteria sampai kepadanya.

4. Menutup menggunakan mahkota logam siap bentuk (Teknik Hall, HT): mahkota logam yang siap bentuk (iaitu dipilih dari pilihan saiz yang hampir muat dengan gigi, tetapi tidak dibentuk untuk gigi tertentu) ditolak ke atas gigi yang rosak untuk menutup lesi karies.

5. Kawalan rongga tanpa pemulihan (NRCC): rongga-rongga dijadikan lebih mudah untuk dibersihkan, dan pesakit-pesakit membantu mengembangkan penjagaan gigi dan tabiat makan yang baik untuk mengurangkan risiko kerosakan berlanjutan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui cara terbaik untuk doktor gigi menguruskan kerosakan yang merebak ke dalam dentin atau menjadi berlubang.

Apakah yang kami lakukan?

Pakar maklumat mencari pangkalan data untuk mencari kajian-kajian yang relevan. Kami menyertakan kajian-kajian dikenali sebagai kajian rawak klinikal yang membandingkan satu rawatan berbanding rawatan lain, rawatan palsu (plasebo) atau tiada rawatan.

Kami menggabungkan keputusan kajian apabila mungkin menggunakan prosedur statistik dipanggil meta-analisis rangkaian untuk menilai keberkesanan relatif rawatan.

Kami menilai sama ada kajian-kajian mungkin bias dan menilai kebolehpercayaan bukti menggunakan kriteria yang sudah ditetapkan.

Apa yang kami temui?

Kami menyertakan 27 kajian dengan 3350 peserta (4195 gigi/lesi), kebanyakannya kanak-kanak. Kejayaan atau kegagalan rawatan biasanya dinilaikan pada 12 ke 24 bulan.

Menutup menggunakan bahan tampal berbanding intervensi lain untuk lesi tidak berlubang atau berlubang tetapi tidak dalam

Bukti adalah sangat tidak pasti, maka kami tidak mengetahui sama ada menutup dengan bahan tampal adalah lebih baik, lebih buruk atau sama seperti rawatan konvensional, SE atau tiada rawatan.

HT, CR, SE, NRCC untuk lesi berlubang tetapi tidak dalam pada gigi bayi

Keputusan menunjukkan HT mungkin lebih berkemungkinan untuk berjaya daripada rawatan konvensional atau NRCC.

Bukti sangat tidak pasti untuk SE berbanding HT dan CR berbanding NRCC.

CR, SE, SW untuk lesi dalam

SW mungkin lebih baik daripada rawatan konvensional untuk gigi kekal. Bukti sangat tidak pasti untuk gigi primer.

SE mungkin lebih baik daripada rawatan konvensional untuk gigi kekal dan mungkin gigi primer (tetapi bukti sangat tidak pasti untuk lesi-lesi yang berlubang tetapi tidak dalam).

SE mungkin lebih baik daripada SW untuk gigi kekal. Bukti sangat tidak pasti untuk gigi primer.

Untuk lesi-lesi dalam, meta-analisis rangkaian menunjukkan kegagalan berkemungkinan besar dengan rawatan konvensional berbanding dengan SE, SW dan HT.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kebanyakan kajian tidak melibatkan banyak orang, dan kebanyakan orang tidak mempunyai masalah dengan tampalan mereka tanpa mengira rawatan mana yang mereka terima. Semua kajian berisiko tinggi bias dalam beberapa cara. Pada masa ini, kami hanya mempunyai kepastian rendah ke sangat rendah dalam kebanyakan penemuan. Ini bermakna penyelidikan pada masa depan boleh menyebabkan kesimpulan yang berbeza.

Seberapa terkinikah bukti ini?

Kami menemui kajian sehingga 21 Julai 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information