Tambahan Vitamin D kepada bayi sedang menyusu badan untuk mencegah kekurangan vitamin D and memperbaiki kesihatan tulang

Soalan ulasan: adakah penambahan vitamin D kepada bayi yang diberikan susu ibu dapat mencegah kekurangan vitamin D dan memperbaiki kesihatan tulang?

Latar belakang: Kekurangan vitamin D adalah biasa di seluruh dunia pada bayi yang berisiko tinggi yang disebabkan pigmentasi, penutup, penghindaran pendedahan cahaya matahari atau garis lintang di mana mereka tinggal. Vitamin D penting adalah untuk kesihatan tulang, membantu mencegah rikets pemakanan dan patah tulang. Tahap vitamin D adalah rendah dalam susu ibu dan bayi yang diberi susu ibu secara eksklusif berisiko mendapat tahap vitamin D yang rendah.

Ciri-ciri kajian: bukti adalah terkini dari Mei 2020. Kami mengenal pasti 19 kajian dengan 2837 pasangan ibu dan bayi yang menilai vitamin D yang diberikan kepada bayi (sembilan kajian), kepada ibu yang menyusu (lapan kajian), dan kepada bayi berbanding ibu yang menyusu (enam kajian). Tidak ada kajian yang membandingkan vitamin D yang diberikan kepada bayi berbanding tempoh pendedahan cahaya matahari kepada bayi.

Hasil utama: untuk bayi yang menyusu, tambahan vitamin D mungkin dapat meningkatkan tahap vitamin D dan mengurangkan kejadian tahap vitamin D yang rendah, tetapi tidak ada cukup maklumat untuk menentukan jika ada penurunan kekurangan vitamin D atau tanda-tanda kesihatan tulang yang buruk (kandungan mineral tulang rendah, rikets pemakanan atau patah tulang). Bagi bayi menyusu yang berisiko yang lebih tinggi untuk kekurangan vitamin D , tambahan vitamin D kepada ibu mungkin dapat meningkatkan kadar vitamin D bayi dan mungkin dapat mencegah kekurangan vitamin D. Maklumat tidak cukup untuk menentukan jika ia membawa manfaat kepada kesihatan tulang. Dalam populasi yang berisiko tinggi kekurangan vitamin D, tambahan vitamin D kepada bayi mungkin lebih baik daripada tambahan vitamin D kepada ibu yang sedang menyusu untuk mencegah kekurangan vitamin D. Walau bagaimanapun, kepastian bukti adalah kurang bagi penanda kesihatan tulang. Tambahan dos yang tinggi kepada ibu (≥ 4000 IU sehari) mencapai tahap vitamin D bayi yang serupa dengan tambahan kepada bayi dengan 400 IU sehari.

Kepastian bukti: kepastian bukti pada masa ini adalah sangat kurang untuk penambahan vitamin D kepada ibu yang menyusu atau bayi mereka dalam populasi yang berisiko rendah kekurangan vitamin D. Dalam populasi yang berisiko tinggi kekurangan vitamin D, terdapat bukti kepastian rendah bahawa vitamin D 400 IU setiap hari yang diberikan kepada bayi atau dos yang lebih tinggi yang diberikan kepada ibu yang menyusu mungkin dapat mencegah kekurangan vitamin D, walaupun kesan pada kesihatan tulang tidak jelas.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information