Adakah terapi psikologi berkesan dalam mengurangkan kemurungan di kalangan mereka yang telah berusia dan menetap di pusat penjagaan dalam jangka masa yang panjang?

Mesej utama

– Terapi psikologi (kadangkala dikenali sebagai terapi bercakap) boleh merawat gejala kemurungan dengan lebih baik daripada pendekatan bukan terapi di kalangan mereka yang telah berusia dan menetap di pusat penjagaan dalam jangka masa yang panjang (LTC) (contohnya, rumah jagaan atau rumah kediaman dengan fasiliti bantuan kemudahan).

– Terapi psikologi juga mungkin lebih baik daripada pendekatan bukan terapi untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan psikologi (kesihatan emosi individu dan fungsi keseluruhan) dalam jangka pendek.

– Disebabkan oleh bukti yang tidak mencukupi, manfaat terapi psikologi yang lebih luas, dan kesan jangka panjang, tidak jelas.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada terapi psikologi bermanfaat untuk menangani kemurungan dalam individu berusia yang tinggal di LTC.

Mengapakah hal ini penting?

Kemurungan kerap berlaku di kalangan mereka yang berusia dan tinggal dalam pusat penjagaan jangka masa panjang. Populasi ini sering diberi ubat untuk menangani kemurungan. Terapi psikologi merupakan kaedah rawatan alternatif yang berkesan.

Apakah terapi psikologi yang boleh digunakan untuk merawat kemurungan pada mereka yang sudah berusia?

Terapi psikologi yang digunakan untuk merawat kemurungan di kalangan mereka yang menetap di pusat penjagaan dalam jangka masa yang panjang termasuk terapi tingkah laku, terapi tingkah laku kognitif dan terapi ingatan masa lampau.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian yang membandingkan terapi psikologi di kalangan mereka yang telah berusia dan menetap di pusat penjagaan dalam jangka masa yang panjang dengan pendekatan penjagaan alternatif . Kami memeriksa hasil sejurus tamat terapi, dan dalam jangka masa pendek (sehingga tiga bulan), jangka masa sederhana (tiga hingga enam bulan), dan susulan jangka masa panjang (lebih daripada enam bulan).

Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti metodologi dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui 19 kajian dengan 873 peserta yang mengalami kemurungan. Kebanyakan kajian membandingkan terapi tingkah laku kognitif, terapi tingkah laku atau terapi ingatan masa lampau dengan perkhidmatan penjagaan biasa atau dengan pusat penjagaan di mana penghuni diberikan tahap perhatian yang sama (contohnya, lawatan mesra daripada sukarelawan atau kumpulan perbincangan peristiwa semasa).

Kami menemui bahawa terapi psikologi mungkin lebih baik dalam menangani gejala kemurungan berbanding pendekatan yang lain pada kadar sejurus selepas terapi dan sehingga enam bulan. Kesan ini tidak begitu ketara dalam kajian di mana terapi psikologi dibandingkan dengan keadaan di mana mereka yang lebih berusia diberi perhatian yang lebih banyak untuk jangka masa panjang.

Terapi psikologi juga boleh meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan psikologi mereka yang berusia sehingga tiga bulan selepas terapi, tetapi kami tidak menemui bukti bahawa terapi psikologi boleh mengurangkan gejala kebimbangan di kalangan mereka yang berusia yang menghidapi kemurungan.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat terhad kerana kebanyakan kajian yang disertakan mempunyai bilangan peserta yang kecil dan menggunakan kaedah yang kurang dipercayai.

Memandangkan populasi yang semakin tua dan unjuran peningkatan dalam kalangan mereka yang berusia yang memerlukan penjagaan jangka masa panjang, kajian klinikal berkualiti tinggi tentang keberkesanan rawatan - rawatan untuk menangani kemurungan diperlukan dengan kadar segera.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Pencarian kajian telah selesai dilakukan pada Oktober 2021.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (International Medical University).Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information