Supleman Citicoline untuk merawat pesakit dengan strok iskemia akut

Soalan ulasan
Apakah manfaat dan bahaya klinikal rawatan menggunakan citicoline jika dibandingkan dengan plasebo atau rawatan standard lain untuk merawat pesakit dengan strok iskemia akut?

Latar belakang
Strok iskemia akut didefinisikan sebagai episod gangguan fungsi otak secara tiba-tiba yang disebabkan oleh sumbatan pada salur darah otak. Ini adalah penyebab utama ketidakupayaan berpanjangan dan penyebab utama kedua kematian. Citicoline adalah bahan kimia yang mungkin boleh mencegah kematian sel-sel otak yang berada berdekatan dengan kawasan otak yang rosak.

Tarikh carian
Pencarian selesai pada 29 Januari 2020

Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan kajian terkawal secara rawak, yang diterbitkan dan tidak diterbitkan. Kami tidak meletakkan limitasi berasaskan bahasa, negara, atau reka bentuk kajian. Kami memasukkan semua peserta (dewasa atau kanak-kanak) dengan strok iskemia akut tanpa mengira penyebabnya. Strok berdasarkan diagnosis klinikal yang disahkan dengan skan otak. Kami menyertakan ujian yang membandingkan citicoline dengan plasebo, rawatan biasa, atau rawatan biasa yang lain.

Keputusan utama
Kami mengenal pasti 10 kajian yang relevan yang merangkumi 4281 peserta; enam kajian dijalankan di beberapa pusat dan dua daripadanya adalah pusat antarabangsa. Kami menganggap kebanyakan kajian mempunyai risiko bias yang tinggi dan kajian-kajian ini melibatkan jumlah peserta yang sedikit. Ini menimbulkan risiko anggaran manfaat yang terlalu tinggi dan anggaran kemudaratan yang terlalu rendah. Ujian menguji citicoline yang diberikan secara oral atau suntikan. Citicoline nampaknya tidak mempengaruhi kematian atau ketidakupayaan dalam aktiviti harian, kesan sampingan yang serius, pemulihan fungsi, atau pemulihan neurologi.

Kualiti bukti
Risiko bias, ketidaktepatan, dan bias pelaporan hasil semuanya menjadikan bukti berkualiti rendah. Tidak ada kajian yang dimasukkan ini melaporkan kesan terhadap kualiti kehidupan. Para penyelidik tidak melaporkan sepenuhnya bahaya yang disebabkan oleh citicoline, sehinggakan profil bahaya tidak jelas.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information