Latar belakang
Testosteron adalah hormon lelaki yang penting. Ia biasanya diambil oleh lelaki yang mempunyai tahap testosteron rendah yang mengalami kesukaran ereksi. Walaubagaimanapun, adalah tidak jelas sejauh manakah keberkesanan rawatan ini dan adakah ia mempunyai kesan tidak diingini yang berbahaya (kesan buruk), terutamanya pada kesihatan jantung.
Mesej utama
Dalam jangka masa yang pendek, terapi penggantian testosteron memberikan kesan minimum pada fungsi ereksi, kualiti kehidupan seksual, dan kematian kardiovaskular, dengan kesan sampingan yang sedikit.
Kesan jangka panjang terapi ini terhadap fungsi erektil kekal tidak menentu, dan data tentang kualiti hidup seksual dan kematian kardiovaskular dalam jangka panjang adalah kurang.
Penemuan ini boleh membimbing garis panduan klinikal pada masa hadapan dan keputusan berkenaan penjagaan kesihatan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui kesan terapi penggantian testosteron kepada lelaki yang mengalami masalah ereksi.
Apakah yang kami lakukan?
Kami menjalankan pencarian yang menyeluruh untuk kajian yang melibatkan lelaki dengan tahap testosteron yang rendah. Kajian ini membandingkan kesan testosteron dengan plasebo atau ubat lain yang bertujuan untuk menambahbaik ereksi.
Apakah yang kami temui?
Kami menyertakan 43 kajian, dengan 11,419 peserta, yang membandingkan testosteron dengan plasebo, tetapi juga kajian yang membandingkannya dengan perencat fosfodiesterase 5 (sekumpulan ubat untuk menambahbaik ereksi). Kami juga menemui kajian di mana kedua-dua kumpulan (testosteron dan plasebo) menerima perencat fosfodiesterase 5.
Keputusan utama
Dalam jangka masa yang pendek, testosteron, apabila dibandingkan dengan plasebo, menunjukkan perubahan kecil dalam fungsi erektil, kualiti kehidupan seksual, dan kematian kardiovaskular.
Apabila kami hanya melihat pada kajian dengan kaedah yang kukuh, hasilnya tetap konsisten: sedikit hingga tiada kesan terhadap fungsi erektil dan kualiti kehidupan seksual. Data juga menunjukkan bahawa kematian kardiovaskular juga tidak mungkin terjejas dengan ketara.
Walaubagaimanapun, dalam jangka masa panjang, terdapat ketidakpastian yang ketara berkenaan kesan terapi penggantian testosteron pada masalah fungsi ereksi. Malangnya, tiada kajian memberikan maklumat tentang hasil-hasil kualiti hidup seksual atau kematian kardiovaskular dalam jangka panjang.
Apakah batasan bukti?
Kepastian bukti adalah sederhana untuk kebanyakan hasil jangka masa pendek, bermakna kami cukup yakin bahawa keputusannya mungkin hampir kepada kesan sebenar. Untuk hasil jangka masa panjang, kami mempunyai kepastian yang sangat terhad kerana kekurangan bukti yang kukuh, dan penyelidikan lanjut mungkin mengubah kesimpulan ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Informasi ini adalah terkini sehingga 29 April 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Ahmad Shauqi Mohammad Norizan. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).