Adakah intervensi untuk keletihan berkesan bagi pesakit dengan kegagalan buah pinggang yang memerlukan dialisis?

Apakah isunya?

Keletihan adalah gejala yang kerap dan menjejaskan yang boleh mengehadkan penglibatan hidup dalam kalangan orang yang menjalani dialisis. Keletihan dikaitkan dengan kualiti hidup terjejas, penyakit kardiovaskular, kematian dan kemurungan dalam kalangan pesakit yang menjalani dialisis. Beberapa intervensi yang berpotensi, termasuklah ubat-ubatan atau rawatan bukan farmakologi lain (cth. senaman, diet, urutan, aromaterapi, akutekanan), telah dinilai kesannya terhadap keletihan dalam kalangan pesakit yang menjalani dialisis.

Apakah yang kami lakukan?

Kami menilai sama ada ubat-ubatan atau intervensi bukan farmakologi lain bermanfaat untuk orang dewasa dan kanak-kanak yang menjalani hemodialisis atau dialisis peritoneal bagi menangani keletihan. Kami menilai semua kajian klinikal yang ada dan merumuskan keputusannya. Kami menilai sejauh mana keyakinan kami terhadap bukti berkaitan intervensi untuk keletihan menggunakan sistem yang dipanggil “GRADE”.

Apakah yang kami temui?

Terdapat sembilan puluh empat kajian yang melibatkan 8191 peserta yang dirawakkan. Pesakit dalam kajian telah diberikan ubat, intervensi bukan farmakologi, penjagaan standard atau pil gula (plasebo). Rawatan yang mereka terima telah diperuntukkan secara rawak. Kajian ini secara amnya adalah berjangka masa pendek (selama beberapa bulan). Tiada kajian mengenai kanak-kanak. Senaman, aromaterapi, urutan dan akutekanan mengurangkan keletihan berbanding plasebo atau penjagaan standard. Ubat-ubatan atau intervensi bukan farmakologi lain mempunyai kesan yang tidak jelas terhadap keletihan dalam kalangan pesakit yang menjalani dialisis.

Kesimpulan

Senaman, aromaterapi, urutan dan akutekanan mengurangkan keletihan berbanding plasebo atau penjagaan standard. Adalah tidak pasti sama ada ubat-ubatan atau intervensi bukan farmakologi lain mempunyai sebarang kesan terhadap keletihan bagi pesakit dialisis apabila dibandingkan dengan pil gula, penjagaan standard atau rawatan lain untuk keletihan.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information