Apakah tujuan ulasan ini?
Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menentukan sama ada terdapat sebarang bukti yang boleh didapati untuk menyokong pendekatan semasa untuk pengesanan kontak (proses mengenal pasti individu yang terdedah kepada kes jangkitan tibi), dan sama ada pilihan-pilihan berkala lain boleh menghasilkan kadar pengesanan jangkitan dalam kontak yang lebih tinggi. Kami mencari semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini.
Mesej-mesej utama
Pengesanan kontak adalah satu kaedah penting untuk terus mengurangkan kadar jangkitan tibi. Para penulis Ulasan Cochrane mengenal pasti tiada lagi kajian yang mengetengahkan persoalan ini. Oleh itu, penyelidikan selanjutnya diperlukan bagi menentukan sama ada pendekatan pengesanan kontak secara berkala boleh menjana hasil yang lebih besar dalam bilangan kontak yang dikenalpasti dan sebilangan individu yang berpenyakit.
Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Batuk kering (Tibi) adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. Secara global, tibi dianggarkan menjangkiti kira-kira 1,7 bilion orang, dengan 1,3 juta kematian dan 10 juta kes baru setiap tahun. Batuk kering dipindahkan melalui titisan air liur daripada batuk daripada pesakit yang dijangkiti kepada kenalan yang terdedah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mensasarkan untuk menghapuskan penyakit ini selewatnya tahun 2035. Bagi mencapai matlamat yang bercita-cita tinggi ini, penurunan semasa dalam kes baru mesti pada kadar yang lebih cepat. Di negara-negara berpendapatan tinggi dengan kadar tibi yang rendah, pengesanan kontak adalah kaedah utama untuk mengenal pasti sesiapa yang berisiko untuk menghidap tibi.
Apakah keputusan utama ulasan?
Para penulis ulasan ini mendapati bahawa tiada kajian percubaan rawak terkawal yang sesuai telah dijalankan untuk menjawab persoalan ini. Bukti kepastian tinggi adalah tidak mencukupi yang membandingkan kaedah semasa pengesanan kontak yang digunakan terhadap pilihan-pilihan berkala; Justeru itu, kajian lanjutan adalah diperlukan.
Adakah ulasan ini terkini
Kami telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 15 Julai 2019.
Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi fairuzfr@yahoo.com