Adakah cara yang baik untuk mengetahui sama ada orang yang hidup dengan HIV mengambil ubat mereka setiap hari?

Isu

Bagi penghidap HIV, pengambilan ubat mereka setiap hari (kepatuhan), adalah penting untuk memastikan HIV terkawal. Cara terbaik untuk mengukur kepatuhan orang ramai terhadap ubat HIV adalah dengan ‘ujian beban virus’ , yang memberitahu kami jumlah virus yang terdapat dalam darah. Ujian beban virus tidak tersedia di semua tempat, seperti di tempat yang kekurangan dana. Jika kami dapat mengukur pematuhan dengan ukuran yang lebih mudah didapati, ini mungkin membantu mengesan orang yang memerlukan lebih banyak bantuan untuk mengambil ubat mereka.

Tujuan ulasan ini

Untuk mengetahui sama ada langkah pematuhan mudah boleh memberitahu kami sama ada orang mungkin tidak mengambil ubat setiap hari dan mungkin mempunyai beban virus yang lebih tinggi (boleh dikesan). Orang ini mungkin dibantu dengan pemantauan beban virus tambahan. Ini kemudiannya dapat mencegah mereka daripada mengalami komplikasi daripada HIV atau menyebarkan HIV kepada orang lain.

Apakah yang kami temui

Kami melihat kepada 51 kajian yang melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa dengan HIV yang berlaku antara 2003 hinggan 2021. Kajian-kajian ini menguji cara yang berbeza untuk mengukur kepatuhan, termasuk tinjauan atau skala penilaian yang diisi oleh pesakit, mengira pil pesakit, nota farmasi atau alat-alat.

Semua langkah yang kami lihat tidak membantu dalam mencari pesakit yang mungkin tidak mengambil ubat mereka dan sesiapa yang mempunyai beban virus yang lebih tinggi. Kajian yang berbeza menunjukkan hasil yang sangat berbeza. Kami tidak dapat menjelaskan perbezaan ini dengan sama ada kajian itu termasuk kanak-kanak atau orang dewasa, sama ada mereka berada di kawasan yang lebih kaya atau lebih miskin, atau apa yang mereka katakan jika beban virus adalah tinggi. Ini juga bermakna kami tidak boleh menggabungkan kajian-kajian tersebut.

Apakah implikasi ulasan ini?

Berdasarkan keputusan, adalah tidak pasti bahawa langkah mudah pematuhan kepada rawatan ART boleh membantu mencari orang yang hidup dengan HIV yang mungkin mempunyai viral load yang lebih tinggi. Namun, mungkin terdapat nilai lain yang cuba untuk mengukur pematuhan yang tidak dapat ditunjukkan oleh ulasan ini.

Melaporkan sejauh mana bukti terkini

Bukti ini adalah terkini hingga 22 April 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information