Latar belakang
Apakah embolisme pulmonari akut?
Embolisme pulmonari akut (APE) merupakan punca utama kematian dan penyakit pada orang di hospital. APE berlaku apabila sekeping bekuan darah (embolus) terputus daripada bekuan darah di tempat lain dalam badan (trombosis vena dalam) dan bergerak dalam darah ke paru-paru. Embolus tersangkut dalam saluran darah paru-paru, dan akibatnya berkisar dari tiada gejala sehingga kematian mengejut. Risiko kematian akibat APE boleh diklasifikasikan mengikut penilaian klinikal, bersama dengan pengimejan perubatan khusus dan ujian darah. Risiko kematian menentukan rawatan yang perlu diterima oleh orang tersebut.
Bagaimana embolisme pulmonari akut dirawat?
Rawatan utama untuk APE adalah ubat pencairan darah (antikoagulasi). Ini menghentikan pembentukan bekuan darah baru pada masa yang sama badan mencairkan bekuan perlahan-lahan, tetapi ia tidak akan menyingkirkan bekuan darah. Orang dengan APE berisiko tinggi (besar) sangat sakit sehingga tambahan ubat penghapus bekuan darah (trombolytik) disyorkan – serta antikoagulasi – untuk menyelamatkan nyawa mereka. Trombolytik biasa diberikan melalui titisan ke dalam vena lengan (trombolisis sistemik). Trombolytik beredar dalam darah ke paru-paru dan melarutkan bekuan. Malangnya, kebanyakan orang tidak menerima trombolisis sistemik kerana mereka mempunyai faktor risiko (seperti baru menjalani pembedahan), yang menjadikan risiko pendarahan besar selepas menerima trombolytik terlalu tinggi. Trombolisis sistemik tidak berfungsi pada 8% orang yang menerimanya, oleh itu mereka memerlukan dos lain atau rawatan alternatif. Pembedahan untuk APE ialah rawatan penyelamat alternatif, tetapi ia tidak tersedia secara meluas.
Untuk APE berisiko pertengahan (kurang besar), pemberian ubat trombolytik adalah tidak disyorkan kerana risiko pendarahan besar melebihi manfaatnya. Orang-orang ini biasanya hanya menerima antikoagulasi. Walau bagaimanapun, sesetengah orang yang berisiko pertengahan akan menjadi lebih teruk dan mati. Mengenal pasti subkumpulan berisiko tinggi ini supaya mereka boleh menerima rawatan lebih agresif yang dapat mengurangkan kematian dan kesakitan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Terdapat banyak minat dalam rawatan baru terarah kateter yang direka khusus untuk merawat APE. Alat kateter ialah tiub plastik kecil yang fleksibel yang dimasukkan melalui luka kecil ke dalam vena di leher atau pangkal paha. Doktor yang merawat melihat pada skrin ketika mereka mengarahkan tiub tanpa rasa sakit melalui vena orang tersebut ke dalam bekuan darah di paru-paru, menggunakan panduan sinar-X. Ini mengelakkan luka besar dan biasanya tidak memerlukan anestetik am. Kateter menghantar ubat trombolytik terus ke dalam bekuan darah. Kaedah ini mungkin lebih berkesan untuk melarutkan bekuan darah daripada ubat yang diberikan ke dalam aliran darah di lengan, yang biasanya dialihkan daripada saluran paru-paru yang tersumbat. Ubat trombolytik dengan dos yang lebih kecil (kira-kira 10% hingga 20%) boleh digunakan, berbanding dengan dos yang diberikan ke vena lengan. Ini boleh mengurangkan kemungkinan pendarahan besar, tetapi dengan faedah yang sama dalam melarutkan bekuan. Alat kateter lain boleh menyedut bekuan darah terus dari saluran darah yang tersumbat (embolectomy kateter). Ini mungkin berfaedah untuk orang yang tidak boleh menerima trombolisis (cth kerana baru menjalani pembedahan, strok sebelumnya, atau hamil) atau jika trombolisis tidak berkesan. Terdapat kajian mencadangkan bahawa lebih banyak bekuan dikeluarkan dari paru-paru, lebih kecil kemungkinan orang tersebut akan mengalami masalah kesihatan kronik.
Malangnya, kami tidak tahu bagaimana rawatan berasaskan kateter berbanding dengan rawatan lain untuk orang dengan APE berisiko tinggi dan berisiko pertengahan. Alat kateter mahal dan mempunyai komplikasinya. Kami perlu mengetahui rawatan APE yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan mencegah bahaya yang tidak sengaja.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami melakukan carian penulisan terperinci untuk kajian rawak terkawal (RCT) bagi rawatan berasaskan kateter untuk APE berisiko tinggi (besar) dan APE risiko pertengahan (kurang besar). Kami memilih RCT kerana ia memberikan standard bukti tertinggi untuk memaklumkan garis panduan rawatan. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Satu kajian memenuhi kriteria kemasukan kami. Kajian ini melihat manfaat penambahan trombolisis terarah kateter kepada antikoagulasi dengan heparin dalam 59 orang dengan APE berisiko pertengahan. Kajian ini menunjukkan tiada perbezaan yang jelas antara trombolisis diarah kateter ditambah antikoagulasi berbanding antikoagulasi sahaja dalam kematian, pendarahan besar dan kecil, APE berulang serta tempoh tinggal di hospital. Kualiti hidup tidak dinilai.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan sangat rendah terhadap bukti kerana staf dan peserta kajian tahu rawatan mana yang mereka terima, dan kajian melibatkan merangkumi sedikit peserta.
Kesimpulan
Terdapat kekurangan bukti kukuh untuk memaklumkan doktor, pesakit dan pemberi dana sistem kesihatan tentang peranan rawatan berasaskan kateter dalam merawat APE berisiko tinggi atau berisiko pertengahan.
Bukti adalah terkini sehingga Mac 2022.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my