Xiao Chai Hu Tang, formula ubat herba Cina, untuk hepatitis B kronik

Soalan ulasan

Untuk menilai manfaat dan kemudaratan formula Xiao Chai Hu Tang berbanding plasebo atau tanpa intervensi dalam orang yang menghidap jangkitan virus hepatitis B kronik.

Latar belakang

Jangkitan virus Hepatitis B kronik adalah penyakit hati yang biasa, dikaitkan dengan morbiditi (penyakit) yang tinggi dan kematian. Ia menyebabkan tekanan psikologi dan bebanan kepada orang yang menghidap hepatitis B kronik serta keluarga mereka. Formula Xiao Chai Hu Tang telah digunakan untuk merawat orang dengan hepatitis B kronik kerana dipercayai bahawa ia mengurangkan ketidakselesaan dan menghalang replikasi virus pada orang dengan hepatitis B kronik. Walau bagaimanapun, manfaat dan kemudaratan formula Xiao Chai Hu Tang tidak pernah dikukuhkan dalam ulasan dengan kaedah ulasan yang ketat.

Tarikh carian

Ulasan ini meliputi semua kajian yang diterbitkan sehingga 1 Mac 2019.

Ciri-ciri Kajian

Kami memasukkan 10 kajian klinikal rawak (kajian klinikal di mana orang ramai secara rawak dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan 934 peserta. Semua kajian membandingkan formula Xiao Chai Hu Tang dengan tanpa rawatan. Kajian menilai formula dan dos yang berlainan selama tiga hingga lapan bulan. Satu kajian melibatkan peserta dengan tuberkulosis (penyakit paru-paru yang boleh membuat anda batuk lendir), dan satu kajian melibatkan peserta dengan sirosis (berparut) hati. Hanya lima kajian dengan 490 peserta menyediakan data untuk dianalisis

Sumber dana kajian

Dua dari 10 kajian dilaporkan menerima pembiayaan akademik. Baki lapan kajian tidak melaporkan maklumat sokongan atau pembiayaan.

Keputusan-keputusan utama

Tiada satu pun daripada 10 kajian yang melaporkan data mengenai kematian semua sebab (kematian dari sebarang sebab), kesan sampingan yang serius (kejadian perubatan yang tidak diingini yang menyebabkan hasil yang serius seperti kematian atau kehilangan upaya), kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan (ukuran fungsi fizikal, mental, emosi, dan sosial sebagai ukuran kepuasan seseorang terhadap kehidupan dan kesihatan mereka), kematian berkaitan dengan hepatitis B, dan morbiditi berkaitan hepatitis B. Kami tidak pasti sama ada formula Xiao Chai Hu Tang berbanding dengan tanpa intervensi mempunyai kesan positif atau negatif mengenai kesan sampingan yang dianggap 'tidak serius', sebahagian orang dengan HBeAg yang dikesan (protein virus hepatitis B yang menunjukkan replikasi virus yang aktif), dan kesan sampingan yang dilaporkan secara berasingan dianggap 'tidak serius'. Formula Xiao Chai Hu Tang berbanding dengan tanpa intervensi seolah-olah mengurangkan kadar orang dengan HBV-DNA yang dikesan (yang digunakan untuk menunjukkan berapa banyak virus hepatitis B dalam darah) tetapi kebolehpercayaan penemuan ini adalah rendah. Hasil pemantauan adalah penanda yang digunakan dalam penyelidikan sebagai pengganti untuk ukuran klinikal bermakna yang secara langsung mengukur hasil pesakit. Kami tidak sentiasa pasti bahawa hasil penggantian tersebut adalah pengganti yang boleh dipercayai untuk hasil penting kerana ia perlu diperiksa secara rasmi. Hasil yang bermanfaat ini perlu dipertimbangkan dengan berhati-hati kerana kajian-kajian tersebut mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi, dan hasil ini belum terbukti relevan untuk pesakit. Kami mengenal pasti 47 kajian tambahan sebagai kajian klinikal rawak yang berpotensi, tetapi data yang mereka laporkan tidak berguna. Oleh itu, kajian klinikal rawak yang direka dengan baik adalah diperlukan sebelum manfaat dan kemudaratan formula Xiao Chai Hu Tang untuk hepatitis B kronik dapat ditentukan.

Kebolehpercayaan bukti

Kebolehpercayaan bukti mengenai penggunaan formula Xiao Chai Hu Tang dalam orang dengan virus hepatitis B kronik dari segi kesannya yang bermanfaat atau berbahaya terhadap kematian, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, risiko mati akibat jangkitan virus hepatitis B, dan kesan sampingan yang serius tidak boleh ditentukan kerana tiada kajian yang bertujuan untuk meneroka hal ini. Kebolehpercayaan bukti bahawa formula Xiao Chai Hu Tang, jika dibandingkan dengan tanpa intervensi, dari segi kesan sampingan dianggap 'tidak serius', perkadaran orang dengan HBV-DNA yang dapat dikesan, dan perkadaran orang dengan HBeAg yang dikesan adalah sangat rendah. Penilaian kebolehpercayaan ini adalah disebabkan oleh reka bentuk dan pelaporan yang lemah oleh kajian-kajian yang terlibat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information