Apakah isunya?
Anemia (tahap zat besi yang rendah dalam darah) adalah masalah kesihatan di seluruh dunia, disebabkan oleh faktor-faktor pemakanan (contohnya kekurangan nutrien) atau bukan pemakanan (contohnya penyakit atau gangguan genetik). Akibat kepada kesihatan termasuk keletihan, kehilangan produktiviti dan hasil buruk kehamilan dan anak.
Mengapakah ini penting?
Kekurangan zat besi (ID) adalah penyebab umum anemia pemakanan, disebabkan oleh kekurangan zat besi dalam diet atau pengurangan penyerapan zat besi dalam badan (contohnya komponen-komponen dalam kopi, teh atau koko menghalang penyerapan zat besi, sementara minuman dan makanan yang tinggi dengan vitamin C, seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, meningkatkan penyerapan zat besi). Beberapa jenis anemia boleh dicegah atau dikawal dengan suplemen zat besi (melalui kapsul atau titisan), penguatan (makanan diperkaya dengan renjisan atau serbuk yang mengandungi zat besi) atau penambahbaikan dalam kepelbagaian dan kualiti diet (contohnya pendidikan atau kaunseling).
Apakah bukti yang kami temui?
Bayi (6 hingga 23 bulan)
Dua ulasan menunjukkan bahawa suplemen zat besi meningkatkan tahap hemoglobin (Hb), dan mengurangkan risiko anemia dan anemia kekurangan zat besi (IDA) berbanding dengan plasebo, tiada intervensi atau intervensi-intervensi lain. Enam ulasan menunjukkan bahawa penguatan susu atau bijirin dengan zat besi, serbuk pelbagai mikronutrien (MMNP), penguatan makanan pelengkap di rumah dan pemakanan tambahan meningkatkan tahap Hb dan mengurangkan risiko anemia. Dalam satu ulasan, suplemen nutrien berasaskan lipid (LNS) mengurangkan risiko anemia, sementara bijiran beluncas meningkatkan tahap Hb dan berkurang prevalens IDA.
Kanak-kanak prasekolah dan sekolah (2 hingga 10 tahun)
Dua ulasan menunjukkan bahawa suplemen zat besi harian atau berjeda (contohnya 1 hingga 3 kali seminggu) meningkatkan tahap Hb dan mengurangkan risiko anemia dan ID. Untuk suplemen zat besi harian berbanding berjeda, satu ulasan mendapati tiada perbezaan dalam tahap Hb, tetapi peningkatan risiko anemia dan ID untuk rejim berjeda. Satu ulasan mendapati tahap Hb yang lebih tinggi dan penurunan risiko anemia dan ID untuk zink ditambah suplemen zat besi berbanding zink sahaja, minuman diperkuat dengan pelbagai kronutrien (MMN), dan penguatan makanan ketika diambil dengan serbuk mikronutrien mengandungi zat besi (MNP).
Kanak-kanak remaja (11 hingga 18 tahun)
Tiga ulasan untuk pencegahan atau rawatan menunjukkan bahawa suplemen zat besi berjeda sahaja atau digabungkan dengan mikronutrien lain, suplemen zat besi dengan atau tanpa suplemen asid folik, atau suplemen mikronutrien lain meningkatkan tahap Hb dan mengurangkan risiko anemia. Satu ulasan menunjukkan bahawa suplemen pemakanan dan kaunseling mengurangkan IDA. Dalam satu ulasan untuk pencegahan, suplemen zat besi dengan atau tanpa asid folik didapati meningkatkan tahap Hb tetapi tidak mempunyai kesan terhadap kejadian anemia.
Wanita usia reproduktif yang tidak hamil (19 hingga 49 tahun)
Dua ulasan menunjukkan bahawa terapi zat besi (oral, intravena, intramuskular) meningkatkan tahap Hb. Satu ulasan mendapati bahawa zat besi intravena meningkatkan tahap Hb berbanding dengan zat besi oral, dan ulasan lain mendapati bahawa suplemen zat besi harian dengan atau tanpa asid folik atau vitamin C meningkatkan tahap Hb dan mengurangkan risiko anemia dan ID.
Wanita usia reproduktif yang hamil (15 hingga 49 tahun)
Dalam satu ulasan, suplemen zat besi harian dengan atau tanpa asid folik meningkatkan tahap Hb pada trimester ketiga atau semasa bersalin, dan semasa tempoh postpartum, dan mengurangkan risiko anemia, IDA dan ID pada trimester ketiga atau semasa bersalin. Enam ulasan menunjukkan bahawa zat besi intravena berbanding zat besi oral atau zat besi intramuskular meningkatkan tahap Hb. Dalam satu ulasan, suplemen vitamin A sahaja berbanding plasebo, tiada intervensi atau mikronutrien lain meningkatkan tahap Hb dan mengurangkan risiko anemia untuk ibu. Satu ulasan mendapati bahawa suplemen dengan laktoferin bovin oral berbanding penyediaan zat besi ferus oral meningkatkan tahap Hb dan mengurangkan kesan-kesan sampingan gastrousus. Dalam satu ulasan, berbanding dengan zat besi atau asid folik dan MMN, LNS meningkatkan risiko anemia.
Populasi campuran (semua umur)
Suplemen zat besi berbanding plasebo atau kawalan meningkatkan tahap Hb dalam kanak-kanak, orang dewasa, dan orang tua yang sihat dalam empat ulasan. Dalam dua ulasan, penguatan MMN berbanding plasebo atau tiada rawatan meningkatkan tahap Hb dalam kanak-kanak, begitu juga suplemen zat besi, tetapi tahap Hb berkurang untuk mereka yang menerima intervensi pemakanan. Zat besi intravena menghasilkan tahap Hb yang lebih tinggi daripada zat besi oral dalam satu ulasan. Dalam ulasan lain, vitamin B 12 atau suplemen asid folik tidak meningkatkan tahap Hb. Setiap ulasan menunjukkan bahawa penguatan makanan dengan zat besi, sos soya diperkuat dengan zat besi, garam yang diperkuat dengan zat besi dan iodin, dan perasa atau mi yang diperkuatkan meningkatkan tahap Hb dan mengurangkan risiko anemia. Dalam satu ulasan, makanan yang disediakan dalam periuk besi menunjukkan potensi untuk meningkatkan tahap Hb dalam kanak-kanak.
Tiada ulasan yang menumpukan orang tua wanita (50 hingga 65 tahun ke atas) atau lelaki (19 hingga 65 tahun ke atas), dan prevalens anemia dan malaria jarang dilaporkan.
Apakah maksudnya?
Berbanding dengan tiada rawatan, suplemen zat besi harian mungkin meningkatkan tahap Hb dan mengurangkan risiko anemia dan IDA dalam bayi, kanak-kanak prasekolah dan kanak-kanak sekolah dan wanita yang hamil dan tidak hamil. Penguatan makanan dengan zat besi dalam bayi dan penggunaan periuk besi bagi kanak-kanak mungkin mempunyai manfaat untuk populasi berisiko rendah. Kebanyakan kajian melaporkan kesan-kesan suplemen, tetapi sangat sedikit ulasan menumpukan penguatan atau menambah baik kepelbagaian dan kualiti diet. Kajian pada masa depan patut menumpukan kepada pelbagai jenis intervensi untuk meningkatkan kepelbagaian makanan dan kualiti diet.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my