Mesej utama
Kami tidak dapat menjawab sama ada ubat antipsikotik adalah selamat dan berkesan untuk penyakit spektrum skizofrenia dengan simptom katatonik kerana kami mendapati hanya terdapat satu kajian yang melibatkan sebilangan kecil orang dan tempoh rawatan yang singkat, menyebabkan kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap hasil kajian itu.
Kami mendapati bahawa dalam satu-satunya kajian yang disertakan, kedua-dua ubat antipsikotik (risperidon) dan terapi elektrokonvulsif boleh meningkatkan simptom katatonik dan simptom positif psikosis, tetapi terapi elektrokonvulsif mungkin lebih baik untuk tiga minggu pertama bagi orang yang tidak mula-mula bertindak balas terhadap ubat lorazepam. Kami tidak menemui kesan sampingan yang luar biasa atau berbahaya bagi kedua-dua rawatan.
Kajian yang lebih besar dan direka dengan baik diperlukan untuk memberikan anggaran yang lebih baik tentang faedah dan potensi bahaya antipsikotik berbanding dengan rawatan lain bagi orang yang mengalami gejala katatonia dalam penyakit spektrum skizofrenia.
Apakah penyakit spektrum skizofrenia dan gejala katatonik?
Skizofrenia dan penyakit spektrum yang berkaitan ialah gangguan mental yang serius yang disertai dengan pelbagai gejala psikotik seperti idea palsu, mendengar suara dan masalah pemikiran. Sesetengah orang juga mempunyai simptom katatonik seperti ketidakupayaan untuk bergerak atau bercakap atau mempunyai pergerakan berulang di mana mereka mempunyai sedikit kawalan. Orang yang mengalami gejala katatonik mungkin tidak dapat berinteraksi atau berkomunikasi dengan orang lain.
Bagaimanakah penyakit spektrum skizofrenia dan gejala katatonik dirawat?
Ubat antipsikotik ialah rawatan standard yang memperbaiki banyak gejala psikotik penyakit spektrum skizofrenia (seperti idea palsu atau mendengar suara), tetapi kurang berkesan untuk gejala lain (seperti pengasingan diri secara sosial atau masalah memberi perhatian). Sesetengah bukti menunjukkan bahawa ubat antipsikotik mungkin tidak begitu berkesan bagi orang yang mengalami penyakit spektrum skizofrenia yang juga mempunyai gejala katatonik. Gejala katatonik juga boleh menyebabkan orang sebegitu berisiko mendapat kesan sampingan ubat antipsikotik. Gejala katatonik sendiri biasanya dirawat dengan ubat penenang atau terapi elektrokonvulsif (rawatan di mana rangsangan elektrik disalurkan kepada kepala melalui elektrod bagi mencetuskan sawan singkat).
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada mana-mana ubat antipsikotik tunggal berfungsi lebih baik daripada ubat antipsikotik lain, agen farmakologi lain, terapi elektrokonvulsif, terapi rangsangan otak lain atau plasebo (rawatan tidak aktif atau neutral) untuk merawat gejala psikotik dan katatonik pada orang yang mengalami penyakit spektrum skizofrenia dengan gejala katatonik.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang melihat mana-mana ubat antipsikotik berbanding dengan antipsikotik lain, agen farmakologi lain, terapi elektrokonvulsif, terapi rangsangan otak lain atau plasebo pada orang yang mengalami penyakit spektrum skizofrenia dengan gejala katatonik. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap kualiti bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui satu kajian yang melibatkan 14 orang dengan penyakit spektrum skizofrenia dengan simptom katatonik yang berlangsung selama tiga minggu dan membandingkan ubat antipsikotik (risperidone) dengan terapi elektrokonvulsif. Kajian itu telah dijalankan di India dan mendapat sokongan daripada Institut Kesihatan Mental dan Neurosains Kebangsaan di Bangalore. Penulis kajian mendapati bahawa kedua-dua risperidone dan terapi elektrokonvulsif mengurangkan gejala psikosis dan katatonia, tetapi terapi elektrokonvulsif itu lebih baik untuk tiga minggu pertama rawatan. Tiada kesan sampingan yang luar biasa atau berbahaya berlaku dengan kedua-dua rawatan. Walaupun kedua-dua rawatan ini boleh mengurangkan gejala psikotik dan katatonik, kami sangat tidak pasti tentang keputusannya kerana bilangan peserta kajian yang kecil dan tempoh kajian yang singkat. Maka, kami tidak boleh membuat kesimpulan bahawa sebarang antipsikotik adalah lebih atau kurang selamat dan berkesan berbanding dengan rawatan lain. Kajian yang lebih baik diperlukan untuk mengkaji faedah dan keselamatan antipsikotik untuk memperbaiki rawatan penyakit spektrum skizofrenia dengan gejala katatonik.
Apakah batasan bukti tersebut?
Kami tidak yakin dengan bukti yang ada kerana tidak cukup kajian untuk memastikan keputusannya. Kajian yang disertakan adalah sangat kecil dan ringkas, dan buktinya tidak merangkumi semua hasil yang kami minati.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga September 2021.
Diterjemah oleh Darlina Hani Fadil Azim (Perdana University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my