Apakah manfaat dan risiko kortikosteroid untuk mencegah keradangan dalam kalangan kanak-kanak yang menjalani pembedahan jantung melibatkan mesin paru-paru jantung?

Mengapakah soalan ini penting?

Kanak-kanak yang lahir dengan kecacatan jantung, atau yang menghidap penyakit jantung selepas lahir, mungkin memerlukan pembedahan jantung. Untuk membedah, pakar bedah sering perlu menghentikan jantung dan paru-paru buat sementara waktu. Untuk memastikan kanak-kanak terus hidup, mereka gunakan mesin paru-paru jantung yang mengambil alih tugas jantung dan paru-paru. Mesin itu menambah oksigen ke dalam darah, mengeluarkan karbon dioksida daripadanya, dan mengepam darah ke dalam badan kanak-kanak.

Kita tahu pembedahan jantung yang melibatkan mesin paru-paru jantung menyebabkan keradangan seluruh badan. Ini boleh menyebabkan komplikasi bermula dari tekanan darah rendah hingga disfungsi organ major. Dalam sesetengah kes, pesakit mungkin mati.

Kortikosteroid (sejenis ubat anti-radang) telah diguna dengan meluas untuk mencegah keradangan dalam kalangan kanak-kanak yang menjalani pembedahan jantung yang memerlukan mesin paru-paru jantung, tetapi manfaat dan risikonya tidak jelas. Untuk mengetahui sama ada ia mencegah keradangan, dan sama ada ia berkait dengan kesan yang tidak diingini (seperti penyembuhan luka yang buruk, peningkatan risiko jangkitan atau peningkatan risiko kematian), kami mengkaji bukti dari kajian-kajian penyelidikan.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Pertama, kami mencari literatur perubatan untuk kajian rawak terkawal (kajian di mana orang secara rawak dibahagikan kepada kumpulan rawatan yang berbeza), kerana kajian-kajian ini memberi bukti paling kuat tentang kesan rawatan. Kami kemudian membandingkan hasilnya dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai kepastian bukti tersebut. Untuk melakukannya kami mempertimbang faktor-faktor seperti cara kajian-kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentas semua kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami kategorikan bukti sebagai kepastian yang sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati 13 kajian melibatkan seramai 1087 orang. Kajian-kajian ini berlangsung antara 14 bulan dan 30 bulan (tempoh tidak dilaporkan oleh tujuh kajian). Tiga kortikosteroid dikaji: metilprednisolon (lima kajian), hidrokortison (dua kajian) dan dexamethasone (enam kajian). Kajian-kajian tersebut membandingkan kortikosteroid ini dengan plasebo (ubat yang serupa tetapi tiada ubat aktif di dalamnya).

Bukti menunjukkan bahawa:

- kortikosteroid mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan kanak-kanak yang mati di hospital selepas pembedahan (lima kajian, 313 kanak-kanak (mengambil bahagian dalam kajian), bukti kepastian sederhana);

- kortikosteroid mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan bilangan kanak-kanak yang mati akibat sebarang sebab (lima kajian, 313 kanak-kanak, bukti kepastian sederhana) atau dari masalah jantung dan peredaran darah khusus (tiga kajian, 109 kanak-kanak, bukti kepastian sederhana) pada tempoh susulan terpanjang selepas pembedahan;

- kortikosteroid boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan sama ada kanak-kanak dihentikan dari mesin paru-paru jantung selepas pembedahan (satu kajian, 40 kanak-kanak, bukti kepastian rendah).

- kortikosteroid mengurangkan bilangan jam kanak-kanak memerlukan mesin pernafasan (enam kajian, 421 kanak-kanak, bukti kepastian tinggi);

- kortikosteroid membuat sedikit atau tiada perbezaan masa kanak-kanak berada di unit rawatan intensif (enam kajian, 421 kanak-kanak, bukti kepastian tinggi);

- kortikosteroid mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan tempoh masa yang dihabiskan oleh kanak-kanak di hospital selepas pembedahan (satu kajian, 176 kanak-kanak, bukti kepastian sederhana).

Adalah tidak jelas sama ada kortikosteroid dikaitkan dengan kesan tidak diingini yang tidak fatal kerana kajian tidak melaporkan kesan yang tidak diingini secara konsisten.

Apakah maksudnya?

Memberi kortikosteroid kepada kanak-kanak yang menjalani pembedahan jantung yang memerlukan mesin paru-paru jantung:

- mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dengan bilangan yang mati selepas pembedahan pada bila-bila masa atau dari sebab apa pun;

- boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan sama ada kanak-kanak dihentikan dari mesin paru-paru jantung selepas pembedahan;

- mungkin mengurangkan tempoh masa yang dihabiskan di mesin pernafasan selepas pembedahan, tetapi ini tidak mengurangkan tempoh tinggal yang lebih pendek di unit rawatan intensif atau hospital.

Kajian masa depan perlu mengumpulkan maklumat tentang kesan tidak diingini yang tidak fatal yang standard, supaya kami dapat menilai risiko kortikosteroid.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Jun 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information