Latihan senaman untuk bronkiektasis

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui jika latihan senaman memperbaik toleransi senaman, kualiti hidup, atau gejala, dan jika ia mengurangkan jumlah keradangan (‘eksaserbasi’) pada masa depan, untuk pengidap bronkiektasis berbanding dengan orang yang tidak melakukan latihan senaman. Kami melihat kepada kajian-kajian melibatkan orang dengan penyakit yang stabil dan pesakit-pesakit dalam tempoh berikutan keradangan yang terbaru. Kami bertujuan untuk menyertakan bukti berkaitan dengan kanak-kanak dan orang dewasa dengan bronkiektasis.

Latar belakang

Orang dengan bronkiektasis menderita dari batuk kronik dan penghasilan kahak. Mereka mempunyai peningkatan risiko mengalami eksaserbasi akut yang menyumbang kepada toleransi senaman dan kualiti hidup yang buruk. Apabila dilakukan oleh orang dengan keadaan paru-paru kronik yang lain, latihan senaman meningkatkan toleransi senaman dan mengurangkan gejala. Walau bagaimanapun, sedikit diketahui mengenai kesan latihan senaman secara khusus dalam bronkiektasis.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2020. Kami menyertakan enam kajian dengan sejumlah 275 peserta; lima kajian berkaitan dengan orang dengan penyakit yang stabil. Tiada kajian yang melibatkan kanak-kanak ditemui. Latihan senaman diberikan bersama-sama dengan rawatan-rawatan lain seperti terapi pembersihan saluran udara, latihan otot pernafasan, dan/atau pendidikan. Peserta dibahagikan secara rawak kepada latihan senaman atau tiada latihan senaman. Latihan senaman dilakukan selama sekurang-kurangnya enam minggu, sama ada dalam persekitaran kumpulan atau di rumah. Tiada kajian yang disertakan dibiayai oleh syarikat-syarikat dengan kepentingan komersial dalam penemuan kajian.

Keputusan utama

Selepas latihan senaman tamat, peserta-peserta dalam keadaan klinikal yang stabil berjalan lebih jauh daripada mereka yang tidak melakukan latihan senaman (purata 87 meter lebih jauh), tetapi kepastian kami terhadap bukti adalah rendah. Peserta-peserta juga melaporkan peningkatan kualiti hidup (bukti kepastian rendah) dan kurang sesak nafas dan keletihan. Kami menemui bukti kepastian sederhana yang menunjukkan bahawa latihan senaman mungkin tidak secara khusus memperbaik gejala berkaitan batuk, namun kejadian eksaserbasi akut adalah lebih rendah. Bukti tidak mencukupi untuk menunjukkan jika kesan-kesan latihan senaman akan kekal melebihi tempoh latihan senaman, dan tiada bukti sedia ada untuk menentukan sama ada latihan senaman membantu orang menjadi aktif secara fizikal. Tiada manfaat didapati untuk orang yang menjalani latihan senaman sejurus selepas keradangan bronkiektasis akut.

Kepastian tentang bukti

Kepastian bukti adalah sangat rendah ke sederhana kerana ketidakpastian mengenai saiz sebenar manfaat yang diperhatikan, kajian-kajian yang dijalankan dengan buruk, dan kekurangan data yang mencukupi keseluruhannya. Lebih banyak kajian dengan jumlah peserta yang lebih ramai diperlukan untuk menentukan kesan-kesan jangka panjang latihan senaman, tanpa mengira status klinikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information