Apakah matlamat ulasan ini?
Para penulis ulasan ingin mengetahui sama ada perencat pam proton (PPI) berkesan dalam (a)mengurangkan eksaserbasi penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), dan (b)meningkatkan kualiti kehidupan pesakit COPD. Kami mencari percubaan rawak untuk menjawab soalan ini dan hanya menemui satu kajian, dengan 103 peserta.
Mesej utama
Memberi PPI kepada pesakit COPD mungkin boleh mengurangkan kekerapan eksaserbasi COPD. Walau bagaimanapun, kajian berkualiti tinggi secara lebih lanjut diperlukan untuk lebih pasti. Kajian pada masa depan harus merangkumi berbagai jenis PPI.
Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?
Kajian ini secara khususnya telah melihat kepada COPD. COPD adalah satu penyakit saluran pernafasan yang biasa, bercirikan batuk berkahak dan kesesakan nafas. COPD merupakan salah satu sebab utama kematian dalam seluruh dunia, dan ia mengurangkan kualiti kehidupan. Eksaserbasi COPD dikaitkan dengan kemasukan ke hospital dan kematian, justeru memberikan beban besar kepada kedua-dua masyarakat serta ekonomi. Eksaserbasi COPD adalah disebabkan oleh keadaan berbeza yang memerlukan terapi yang berbeza.
Penyakit refluks gastroesophageal (GERD) adalah salah satu penyebab eksaserbasi COPD. GERD adalah satu penyakit gastrousus yang biasa yang disebabkan oleh refluks asid perut ke dalam esofagus (saluran makanan) dan paru-paru. Ini memberikan pesakit gejala-gejala seperti pedih ulu hati dan batuk. Apabila orang menghidap GERD, mereka diberi PPI untuk merawatnya. Ini berfungsi dengan mengurangkan jumlah asid perut. Walaupun PPI berkesan untuk merawat gejala-gejala GERD, ia tidak pasti sama ada penambahan PPI ke atas rawatan biasa boleh mengurangkan frekuensi eksaserbasi COPD atau akan meningkatkan kualiti kehidupan untuk pesakit dengan COPD.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami hanya menjumpai satu kajian yang berkaitan. Ia dari sebuah hospital universiti dan tiga hospital bandar di Jepun. Kajian ini telah membandingkan kesan-kesan PPI serta rawatan biasa dengan rawatan biasa sahaja dalam pesakit COPD yang tidak ada sejarah atau gejala-gejala GERD. Para penyelidik telah menyiasat perubahan dalam frekuensi eksaserbasi COPD dan selesema biasa dalam tempoh masa 12 bulan. Kajian ini menggunakan dos harian 15 mg PPI yang dipanggil lansoprazole. Terdapat bukti berkepastian rendah mengenai pengurangan dalam bilangan orang yang mengambil lansoprazole yang mempunyai eksaserbasi COPD berbanding dengan orang yang mempunyai rawatan biasa, dan bukti berkepastian sangat rendah bahawa bilangan orang dalam setiap kumpulan yang mempunyai sekurang-kurangnya satu kejadian selesema biasa adalah serupa.
Penulis-penulis ulasan tidak dapat mencari sebarang kajian yang menghuraikan kesan-kesan PPI ke atas pneumonia dan kesan-kesan sampingan yang serius, kualiti kehidupan, fungsi paru-paru, atau kesan-kesan sampingan khusus kepada penyakit.
Sejauh manakah ulasan ini dikemas kini?
Kami menjalankan carian terbaru untuk kajian pada 22 Mei 2020.
Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my