Kawalan malaria menggunakan ivermectin

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jika pemberian ubat ivermectin kepada seluruh komuniti dapat mengurangi penularan malaria. Kami telah meneliti semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menjumpai satu kajian yang berkaitan.

Mesej utama

Kami tidak dapat menyatakan ketika ini jika merawat seluruh komuniti dengan ivermectin dapat mengurangkan malaria. Beberapa kajian penyelidikan sedang dijalankan; kami menjangkakan ianya akan memberikan lebih banyak jawapan pada masa akan datang.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Malaria adalah penyakit yang ditularkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti parasit Plasmodium. Ia mengakibatkan hampir setengah juta kematian setiap tahun. Ivermectin adalah ubat yang diberikan kepada seluruh komuniti untuk mengawal parasit yang bertanggungjawab untuk elephantiasis dan kebutaan sungai. Telah diperhatikan bahawa ivermectin dapat membunuh nyamuk ketika ianya menghisap darah orang yang telah mengambil ubat ini. Oleh itu, adalah diyakini bahawa dengan memberikan ubat ini kepada seluruh komuniti, ia akan membunuh banyak nyamuk, dan dapat mengurangkan penularan malaria.

Dalam ulasan ini, kami menilai sama ada merawat seluruh komuniti dengan ivermectin akan mengurangkan penularan malaria. Kami mencari kajian dari pelbagai sumber, dan hanya merangkumkan kajian yang berlaku dalam komuniti dengan malaria, dan yang menugaskan kumpulan orang secara rawak untuk menerima ivermectin atau kawalan, yang boleh menjadi ubat plasebo atau rawatan piawai ubat komuniti. Kami ingin mengetahui jika rawatan itu mempengaruhi kejadian malaria dalam kalangan komuniti.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Satu kajian memenuhi kriteria kemasukan. Kajian ini merangkumkan lapan kampung di Burkina Faso, yang secara rawak ditugaskan untuk menerima ivermectin atau kawalan. Semua kampung menerima ivermectin, sebagai sebahagian daripada kawalan yang dijadualkan bagi filariasis limfatik . Di samping itu, kampung rawatan menerima lima dos ivermectin tambahan, sekali setiap tiga minggu. Kesan ivermectin terhadap malaria diukur pada kanak-kanak yang berumur kurang dari lima tahun. Pada kanak-kanak ini, rawatan tidak menunjukkan perbezaan ketara dalam kehadiran malaria antara kumpulan rawatan dan kawalan (bukti berkepastian sangat rendah).

Oleh itu, kami tidak dapat untuk menyatakan pada ketika ini jika rawatan seluruh komuniti dengan ivermectin mempunyai kesan untuk mengurangkan malaria. Beberapa kajian penyelidikan sedang dijalankan; kami menjangkakan ianya akan memberikan lebih banyak jawapan pada masa akan datang.

Sejauh manakah ulasan ini mutakhir ?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 14 Januari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information