Soalan ulasan
Ulasan ini dilakukan untuk mengetahui sama ada pembedahan atau rawatan endovaskular lubang kunci, seperti menempatkan stent dan ubat pencairan darah akan memberi hasil yang lebih baik kepada mereka dengan belahan arteri serviks yang rawatannya hanya dengan ubat pencairan darah sahaja tidak meningkatkan atau memburukkan lagi gejala strok. Dapatan yang ingin kami lihat adalah kerosakan otak kekal dan kecacatan jangka panjang akibat strok.
Latar belakang
Belahan arteri serviks adalah luka di dinding saluran darah di leher yang membekalkan darah ke otak. Terdapat dua arteri iaitu arteri karotid di kanan dan kiri leher, dan arteri vertebral di kanan dan kiri leher. Apabila luka berlaku di dinding arteri ini, gumpalan terbentuk di dalam arteri. Gumpalan ini tercabut daripada dinding arteri dan pergi ke otak lalu menyebabkan strok. Cara standard untuk merawat luka di arteri ini adalah dengan memberi pesakit ubat-ubatan yang mencairkan darah dan mengurangkan pembentukan gumpalan. Namun, kadang-kadang pesakit terus mendapat gejala strok, dan keadaannya bertambah buruk walaupun menggunakan ubat dos maksimum.
Tarikh carian
Kami melakukan tinjauan literatur yang menyeluruh dan komprehensif untuk mencari kajian klinikal yang dapat membantu kami menjawab soalan tinjauan. Bukti adalah terkini sehingga Mac 2020.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian yang dijalankan secara objektif dan dirancang khusus untuk membanding pembedahan atau intervensi radiologi dengan terapi perubatan sahaja.
Keputusan utama
Kami tidak menemui sebarang kajian yang sesuai dengan kriteria semakan. Oleh itu, tidak terdapat bukti bahawa pembedahan atau prosedur radiologi dapat memberi manfaat kepada pesakit yang mengalami gejala strok walaupun menjalani terapi perubatan. Kami mendapati sejumlah laporan dari kumpulan doktor yang berpengalaman bahawa pembedahan dan intervensi radiologi selamat di tangan mereka. Namun, kami tidak menemui bukti bahawa ini sesuai untuk hospital dan pasukan klinikal lain. Oleh itu, kajian berskala besar dan dijalankan dengan baik perlu untuk menjawab soalan kajian.
Kepastian bukti
Tidak ada bukti berkualiti baik untuk membimbing doktor mengenai rawatan terbaik bagi mereka dengan belahan arteri serviks tanpa gejala walaupun dengan terapi perubatan optimum.
Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my