Apakah matlamat Ulasan Cochrane ini?
Kami ingin tahu rawatan terbaik yang sedia ada untuk mencegah perdarahan pertama daripada varises esofagus (vena yang membesar di dalam saluran makanan(esofagus)) dalam kalangan orang dengan parut hati yang teruk (sirosis hati, atau parut hati tahap akhir dengan komplikasi). Orang dengan sirosis dan varises esofagus berisiko tinggi perdarahan dan kematian. Oleh itu, rawatan adalah penting, tetapi manfaat dan mudarat pelbagai rawatan sedia ada adalah tidak jelas. Penulis ulasan mengumpul dan menganalisis 66 kajian rawak klinikal (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan matlamat untuk mencari rawatan terbaik. Semasa analisis data, kami menggunakan kaedah standard Cochrane, yang membolehkan hanya dua perbandingan rawatan pada satu masa. Kami juga menggunakan teknik lanjutan yang membolehkan perbandingan rawatan multipel pada masa sama (dirujuk sebagai 'meta-analisis rangkaian (atau tidak langsung)).
Tarikh carian literatur
Disember 2019
Mesej utama
Kami mendapati hanya satu kajian yang dilakukan tanpa kecacatan, oleh itu terdapat ketidakpastian tinggi sehingga sangat tinggi dalam penemuannya. Kira-kira satu daripada lima peserta kajian dengan sirosis dan varises esofagus yang tidak pernah mengalami perdarahan sebelumnya dan menerima rawatan standard penyekat beta meninggal dunia dalam tempoh lima tahun rawatan.
Sumber pembiayaan untuk penyelidikan tidak jelas dalam 50 kajian; organisasi komersial membiaya lima kajian. Tiada sebarang kebimbangan tentang sumber pembiayaan untuk 11 kajian yang berbaki.
Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Ulasan ini melihat orang dewasa sebarang jantina, umur, dan etnik, dengan penyakit hati yang teruk akibat pelbagai sebab dan varises esofagus, tetapi tidak pernah mengalami perdarahan varises esofagus. Peserta diberi rawatan yang berbeza untuk mencegah perdarahan pertama varises esofagus. Para penulis mengecualikan kajian dalam kalangan orang yang pernah mengalami perdarahan varises esofagus dan mereka yang pernah menjalani transplan hati atau telah menerima rawatan untuk varises esofagus sebelumnya. Umur purata peserta, apabila dilaporkan, adalah dari 40 tahun hingga 63 tahun. Rawatan-rawatan termasuk 'penyekat beta tidak selektif' atau hanya 'penyekat beta' (ubat yang melambatkan jantung dan menurunkan daya pam jantung yang mengakibatkan penurunan tekanan dalam saluran darah; ia juga meningkatkan tekanan saluran darah usus mengurangkan amaun darah sampai ke vena esofagus), skleroterapi endoskopik (menyuntik agen klot ke dalam vena yang membesar dengan melihat melalui tiub yang dimasukkan melalui mulut), ligasi jalu variseal (memasukkan jalur elastik di sekitar vena yang melebar menggunakan tiub yang dimasukkan melalui mulut), dan nitrat (ubat-ubatan yang menurunkan tekanan dalam salur darah usus dengan melebarkannya). Penulis ulasan ingin mengumpul dan menganalisis data tentang kematian (peratusan kematian pada susulan maksimum), kualiti hidup, kesan sampingan yang serius dan tidak serius, peratus orang yang mengalami perdarahan, dan perkembangan komplikasi lain penyakit hati yang teruk.
Apa keputusan utama ulasan ini?
66 kajian tersebut menyertakan bilangan kecil peserta secara relatif (6653 peserta). Enam puluh kajian dengan 6212 peserta menyediakan data untuk analisis. Susulan kajian adalah antara enam bulan hingga lima tahun dalam kajian-kajian yang melaporkan hasil yang kami minati. Ulasan mendapati perkara berikut:
- Kira-kira satu dari lima orang dengan sirosis dan varises oesofagus (tanpa perdarahan sebelumnya) yang menerima penyekat beta meninggal dalam tempoh lima tahun.
- Penyekat beta, ligasi jalur variseal, skleroterapi, dan penyekat beta ditambah nitrat semuanya boleh mengakibatkan kurang kematian berbanding tanpa rawatan.
- Ligasi jalur variseal boleh menyebabkan bilangan kesan sampingan lebih tinggi berbanding penyekat beta.
- Skleroterapi, penyekat beta ditambah nitrat, dan penyekat beta ditambah ligai jalur variseal boleh mengakibatkan lebih banyak kesan sampingan (apabila peristiwa buruk serius dan tidak serius disatukan) berbanding penyekat beta.
- Penyekat beta ditambah ligasi jalur variseal boleh mengakibatkan kurang orang yang mengalami perdarahan berbanding penyekat beta sahaja berdasarkan satu kajian kecil.
- Nitrat sahaja boleh mengakibatkan lebih ramai orang mengalami perdarahan berbanding penyekat beta sahaja.
- Bukti menunjukkan ketidakpastian intervensi dalam perbandingan yang berbaki.
- Tiada kajian melaporkan kualiti hidup berkaitan kesihatan.
Apakah kesimpulan kami?
Penyekat beta, ligasi jalur variseal, skleroterapi, dan penyekat beta ditambah nitrat dapat menurunkan kadar kematian berbanding tiada rawatan dalam kalangan orang dengan varises esofagus berisiko tinggi dan orang dengan sirosis dan tiada sejarah perdarahan. Ligasi jalur variseal boleh menyebabkan lebih bilangan kesan sampingan serius berbanding penyekat beta. Bukti menunjukkan ketidakpastian tentang kesan penyekat beta berbanding ligasi jalur variseal terhadap perdarahan variseal. Bukti menunjukkan ketidakpastian tentang kesan intervensi dalam kebanyakan perbandingan yang berbaki. Kajian masa depan dengan reka bentuk lebih baik diperlukan untuk mengetahui rawatan terbaik bagi mencegah perdarahan pertama dalam kalangan orang dengan sirosis dan varises esofagus.
DIterjemah oleh Amirul Iman (Persatuan Penterjemahan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.