Apakah matlamat Ulasan Cochrane ini?
Kami ingin mengetahui apakah teknik atau rawatan terbaik bagi mencegah berlakunya pendarahan berulang dari varises oesophageal (saluran darah yang membesar dalam saluran makanan) dikalangan mereka yang menghidap penyakit hati yang teruk dengan penyakit hati (sirosis hati, atau hati berparut tahap akhir dengan komplikasi). Mereka yang menghidap sirosis hati dan pernah mengalami pendarahan daripada varises oesophageal mempunyai risiko kematian disebabkan oleh pendarahan seterusnya yang mungkin berlaku pada masa akan datang. Oleh itu, rawatan untuk mencegah terjadinya pendarahan berulang pada mereka ini sangat penting, namun begitu faedah dan mudarat dari jenis rawatan yang berbeza masih kurang jelas pada masa ini. Para penulis ulasan ini mengumpul dan menganalisis semua kajian penyelidikan yang berkaitan dengan tujuan untuk mencari kaedah rawatan yang terbaik. Mereka menemui 48 ujian klinikal secara rawak (kajian di mana peserta ditentukan secara rawak ke salah satu daripada dua kumpulan rawatan). Semasa analisis data, penulis menggunakan kaedah piawai Cochrane, yang membolehkan perbandingan dilakukan hanya melibatkan dua rawatan sahaja pada satu masa. Penulis juga menggunakan teknik termaju yang memungkinkan perbandingan beberapa rawatan pada masa yang sama (biasanya disebut sebagai 'rangkaian meta-analisis (atau tidak langsung)').
Tarikh carian literatur
Disember 2019
Mesej utama
Tidak ada kajian yang dilakukan tanpa kekurangan,oleh itu, terdapat ketidakpastian sederhana hingga sangat tinggi terhadap penemuan-penemuan dalam tinjauan ini. Kira-kira satu daripada lima peserta sirosis hati yang menerima rawatan skleroterapi pencegahan selepas pendarahan pertama varises oesofagus dihentikan meninggal dalam tempoh lima tahun rawatan.
Apa yang dikaji dalam tinjauan ini?
Ulasan ini meninjau mana-mana orang dewasa, tidak mengira jantina, umur, atau etnik, yang mempunyai penyakit hati yang teruk kerana pelbagai sebab dan pernah mendapat pendarahan sebelumnya dari varises oesophageal. Para peserta diberi rawatan yang berbeza untuk mencegah berlakunya pendarahan berulang varises esophageal. Para penulis mengecualikan kajian dimana peserta mengalami pendarahan dari perut, mereka yang tidak pernah mengalami pendarahan sebelumnya dari varises oesophageal, mereka yang gagal memberikan tindak balas terhadap rawatan lain sebelum masuk kajian, dan mereka yang pernah menjalani pemindahan hati sebelumnya. Umur purata para peserta, ketika dilaporkan, adalah antara 40 hingga 63 tahun. Rawatan yang digunakan di dalam kajian termasuklah skleroterapi endoskopi (suntikan ke saluran darah yang membesar dengan melihat melalui tiub yang dimasukkan melalui mulut), ikatan tali variceal (mengikat tali di sekitar saluran darah yang melebar dengan melihat melalui tiub yang dimasukkan melalui mulut), beta-blocker (ubat-ubatan yang memperlahankan denyutan jantung dan menurunkan kekuatan pengepaman jantung yang mengakibatkan penurunan tekanan pada saluran darah), dan TIPS (transjugular intrahepatic portosystemic shunt; saluran buatan yang menghubungkan saluran darah yang berbeza yang membawa darah kurang oksigen (sistem vena) ) di dalam hati untuk mengurangkan tekanan yang terbentuk di sistem vena portal, salah satu daripada dua sistem vena saliran hati), portocaval shunt (melakukan pembedahan untuk membuat saluran buatan yang dijelaskan untuk TIPS) adalah diantara cara-cara pengcegahan yang dikaji. Para penulis ulasan ingin mengumpulkan dan menganalisis data mengenai kematian, kualiti hidup, kesan sampingan yang tidak serius dan serius, pendarahan berulang, dan juga terjadinya komplikasi lain bagi penyakit hati yang teruk .
Apa hasil utama kajian ini?
48 kajian ini melibatkan sejumlah (3526 peserta). Data kajian tidak banyak diperolehi. Data untuk dianalisis merangkumi empat puluh enam kajian dengan 3442 peserta. Tempoh pemantauan para peserta percubaan adalah antara dua bulan hingga lima tahun.
Sumber pembiayaan dalam 36 kajian adalah tidak jelas;manakala lima kajian dibiayai oleh organisasi komersial. Tidak ada sebab yang meragukan mengenai sumber dana baki sembilan kajian yang lain.
Ulasan ini menunjukkan yang berikut.
- Bukti menunjukkan ketidakpastian yang besar mengenai kesan intervensi terhadap risiko kematian
- Pengikatan tali variceal mungkin menyebabkan kurang sedikit kesan sampingan yang serius daripada skleroterapi
- Bukti menunjukkan ketidakpastian yang besar mengenai kesan intervensi terhadap kejadian buruk yang serius dan tidak serius
- Skleroterapi mungkin menyebabkan berkurangannya pendarahan berbanding dengan tiada rawatan
- Beta-blockers ditambah dengan skleroterapi dan TIPS mungkin menyebabkan pengurangan pendarahan yang lebih baik berbanding skleroterapi sahaja
- Portocaval shunt dapat mengakibatkan pengurangan pendarahan lebih baik berbanding skleroterapi
- Bukti menunjukkan ketidakpastian yang signifikan mengenai kesan intervensi pada perbandingan yang tinggal
- Tidak ada ujian yang melaporkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan diri
- Percubaan yang dirancang dengan baik di masa hadapan diperlukan untuk mengetahui rawatan terbaik bagi mereka yang menghidap sirosis hati dan pernah mendapat pendarahan sebelumnya dari varises oesophageal.
Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.