Latar belakang
Bilangan orang yang lebih tua dengan lebih dari satu masalah kesihatan jangka panjang semakin meningkat di seluruh dunia. Individu-individu tersebut mempunyai keperluan penjagaan kesihatan yang rumit. Walaupun mereka sering ingin terlibat dalam membuat keputusan tentang penjagaan kesihatan mereka, mereka kurang terlibat berbanding dengan orang muda yang lebih sihat. Akibatnya, mereka mungkin tidak ditawarkan pilihan rawatan yang sama.
Soalan ulasan
Kami mengulas bukti sedia ada tentang kesan intervensi yang bertujuan untuk melibatkan orang yang lebih tua dengan lebih dari satu masalah kesihatan jangka panjang dalam membuat keputusan mengenai penjagaan kesihatan mereka semasa rundingan penjagaan primer.
Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan penyelidikan yang diterbitkan sehingga Ogos 2018. Kami menemui tiga kajian yang relevan melibatkan 1879 peserta. Kajian-kajian ini dilaporkan dari tiga negara. Para peserta berusia lebih 65 tahun dan mempunyai tiga atau lebih masalah kesihatan jangka panjang secara purata. Intervensi yang disiasat termasuklah:
· bengkel pesakit dan tunjuk ajar pesakit individu;
· tunjuk ajar pesakit termasuk terapi tingkah laku kognitif; dan
· ulasan pesakit keseluruhan, latihan pengamal, dan perubahan organisasi.
Semua kajian dibiayai oleh badan penyelidikan kebangsaan.
Keputusan-keputusan utama
Tiada kajian yang melaporkan hasil utama 'penglibatan pesakit dalam membuat keputusan tentang penjagaan kesihatan mereka' atau sama ada kurang penglibatan pesakit akibat intervensi. Intervensi tidak didapati meningkatkan hasil buruk seperti kematian, kecemasan, kehadiran ke jabatan kecemasan, atau kemasukan hospital.
Kami tidak pasti sama ada intervensi melibatkan orang tua dengan lebih dari satu masalah kesihatan jangka panjang dalam membuat keputusan tentang penjagaan kesihatan mereka dapat memperbaiki kesihatan mereka atau penglibatan penjagaan kesihatan, atau membuat sebarang perbezaan dalam efikasi diri (keyakinan seseorang dalam keupayaan untuk berjaya dalam situasi tertentu) atau dalam bilangan keseluruhan lawatan ke praktis umum. Kami melaporkan intervensi ini mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup pesakit tetapi mungkin meningkatkan bilangan pesakit yang membincangkan keutamaan mereka, dan dikaitkan dengan lebih perundingan pesakit dengan jururawat, berbanding penjagaan biasa. Intervensi mungkin dikaitkan dengan lebih perubahan dalam pengurusan keadaan kesihatan dari perspektif pesakit berbanding kumpulan kawalan.
Kualiti bukti dibatasi oleh kajian-kajian kecil, dan kajian-kajian yang memilih untuk mengukur hasil yang berbeza, mengakibatkan kekurangan data yang boleh digabung dalam analisis.
Kesimpulan
Penyelidikan lanjut dalam bidang ini diperlukan sebelum kesimpulan dapat dibuat.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal)