Sejauh manakah tepat alat CAM-ICU untuk diagnosis racauan dalam kalangan pesakit dewasa yang dimasukkan ke unit penjagaan kritikal?

Mesej utama

Ulasan kami menunjukkan bahawa CAM-ICU ialah ujian yang munasabah untuk mengesan racauan dalam persekitaran penjagaan kritikal. Ujian ini mungkin sangat baik untuk mengetepikan keracauan. Jika CAM-ICU mencadangkan tiada racauan, tidak mungkin orang itu mengalami racauan.

Apakah matlamat ulasan ini?

Untuk menilai ketepatan alat CAM-ICU untuk mengesan keracauan pada pesakit di unit penjagaan kritikal.

Mengapakah mengenali racauan penting?

Apabila orang rasa tidak sihat, mereka boleh mengalami perubahan dalam pemikiran, tahap kesedaran atau keupayaan untuk mengekalkan perhatian. Keadaan ini dipanggil racauan. Racauan menjadi lebih berkemungkinan apabila orang menjadi lebih tidak sihat. Racauan adalah sangat biasa apabila orang rasa sangat tidak sihat sehingga mereka memerlukan pemantauan dan rawatan yang dipertingkatkan, contohnya, di unit rawatan rapi. Kawasan hospital yang menyediakan penjagaan yang dipertingkatkan ini dipanggil 'penjagaan kritikal'.

Berbanding dengan orang yang tidak mengalami keracauan, orang yang menghidap racauan lebih berkemungkinan memerlukan tempoh tinggal lebih lama di hospital dan lebih cenderung untuk mati. Racauan dikaitkan dengan tekanan untuk pesakit dan keluarga mereka.

Pengiktirafan segera apabila seseorang mengalami keracauan akan membolehkan rawatan. Walau bagaimanapun, menilai kehadiran racauan adalah sukar. Penilaian ini menjadi lebih rumit dalam persekitaran penjagaan kritikal kerana pesakit mungkin mempunyai peralatan untuk membantu mereka bernafas, maka mereka tidak boleh bercakap dengan penilai dengan mudah.

Apakah itu CAM-ICU?

Kaedah Penilaian Kekeliruan untuk Unit Rawatan Rapi (CAM-ICU) ialah ujian untuk mengesan racauan. Penilaian ini berdasarkan satu siri soalan dan arahan yang direka untuk mengesan ciri-ciri racauan.

Aspek tertentu ujian CAM-ICU menjadikannya sesuai untuk persekitaran penjagaan kritikal yang sibuk. Ujian CAM-ICU boleh diselesaikan walaupun pesakit yang dikaji tidak boleh bercakap. CAM-ICU berfungsi dengan pantas dan memerlukan latihan yang minima, oleh itu, ia boleh digunakan oleh mana-mana ahli pasukan penjagaan kesihatan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami menyemak kajian yang menilai ketepatan CAM-ICU apabila digunakan dalam persekitaran penjagaan kritikal. Kami memasukkan kajian yang membandingkan keputusan ujian CAM-ICU yang dilakukan oleh profesional terlatih CAM-ICU, dengan penilaian diagnostik 'standard emas' yang lebih terperinci.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menyertakan 25 kajian dengan jumlah 2817 peserta. CAM-ICU mengenal pasti pesakit yang menghidap keracauan dengan kira-kira 78% ketepatan. Ujian ini lebih baik untuk mengenal pasti mereka yang tidak mengalami keracauan dengan keputusan yang betul kira-kira 95% pada satu masa.

Jika CAM-ICU digunakan untuk sekumpulan 100 pesakit dalam penjagaan kritikal, di mana 40% (40) daripada mereka mengalami keracauan. Selain itu, ia dianggarkan bahawa alat CAM-ICU akan mengesan dengan betul sekitar 31 pesakit yang menghidap racauan dan terlepas sembilan kes. CAM-ICU akan mencadangkan bahawa tiga pesakit mengalami keracauan sedangkan mereka tidak mengalami keracauan.

Sejauh manakah keputusan kajian-kajian dalam ulasan ini boleh dipercayai?

Walaupun risiko berat sebelah adalah rendah dan bilangan peserta yang tinggi dalam kajian yang disertakan, kami tidak pasti tentang keputusan kerana terdapat perbezaan antara kajian dalam cara ujian digunakan dan dalam tafsiran perbandingan ‘standard emas’.

Kepada siapakah keputusan ulasan ini boleh digunakan?

Kami hanya melihat kajian yang mengkaji ujian CAM-ICU apabila digunakan dalam persekitaran penjagaan kritikal. CAM-ICU digunakan dalam persekitaran penjagaan kesihatan lain, tetapi itu bukan fokus ulasan ini.

Adakah ulasan ini terkini?

Carian kesusasteraan kami termasuk kajian yang diterbitkan sehingga 8 Julai 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information