Ulasan tentang jenis intervensi sokongan yang berkesan untuk membantu wanita yang didera, dalam keadaan apa, dan wanita yang mungkin mendapat manfaat

Latar belakang

Penderaan pasangan (keganasan rumah tangga) adalah biasa di seluruh dunia. Ia merangkumi kawalan secara paksa, fizikal, seksual, ekonomi, emosi dan/atau penderaan ekonomi. Mereka yang dilatih, dikenali sebagai peguambela, boleh menyokong secara aktif wanita yang didera untuk membuat perancangan keselamatan, menangani dan mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan penderaan, dan mengakses sumber awam. Ini dikenali sebagai sokongan. Sokongan terdapat dalam pelbagai bentuk.

Soalan ulasan

Kami ingin memahami intervensi sokongan manakah yang berkesan untuk membantu wanita yang didera, dalam keadaan apa, dan wanita manakah yang mungkin mendapat manfaat. Ini dipanggil pendekatan realis. Ia mengandaikan bahawa kita sering membentuk pengetahuan yang cetek tentang bagaimana sesuatu berlaku (contohnya cara sokongan berfungsi), berdasarkan ukuran dan pemerhatian mudah. Pendekatan realis cuba memahami apa yang sebenarnya berlaku pada tahap yang lebih mendalam dengan meneroka kesan yang berbeza dalam keadaan yang berbeza.

Kaedah

Kami mencari penulisan saintifik di seluruh dunia setakat Januari 2019 untuk sebarang kajian yang berkaitan.

Penemuan utama

Kami menemui 98 kajian daripada 15 buah negara. Daripada 88 kajian teras, 37 bertanya kepada peguam bela tentang pandangan dan pengalaman mereka dan tujuh bertanya kepada wanita yang didera tentang sokongan (dua daripadanya juga bertanya kepada kakitangan). 44 kajian teras yang lain membantu kami untuk memahami cara sokongan berfungsi dan keberkesanannya. Kami menyertakan 10 kajian tambahan yang tidak menepati kriteria asal tetapi memberikan maklumat tambahan yang berguna, selaras dengan pendekatan realis. Daripada jumlah ini, tiga adalah kajian rawak terkawal (RCT; sejenis eksperimen di mana para peserta diperuntukkan kepada dua atau lebih intervensi secara rawak), satu adalah penilaian proses intervensi, satu adalah kajian kualitatif (contohnya kumpulan fokus, temubual), dua kajian menggunakan kaedah campuran (gabungan kajian kualitatif dan kuantitatif) untuk meneroka pengalaman wanita, dua adalah soal selidik untuk wanita, dan satu adalah kajian kaedah campuran untuk wanita dan kakitangan. Kami tidak dapat memperoleh teks lengkap untuk dua kajian yang kami berpendapat mungkin adalah kajian teras dan tiga lagi kajian berkaitan yang masih berlangsung.

Intervensi sokongan berbeza dengan ketara dari segi tempoh, kakitangan yang terlibat (contohnya jururawat, ahli psikologi, pekerja sosial), dan situasi (contohnya situasi penjagaan kesihatan, atau tempat perlindungan keganasan rumah tangga).

Dalam kajian, wanita dan peguam bela bersetuju bahawa yang berikut adalah semua bahagian penting dalam sokongan: pendidikan dan maklumat mengenai penderaan dan hak wanita serta sumber bantuan (sumber); rujukan aktif kepada, dan membantu dalam mengakses perkhidmatan lain; penilaian risiko penderaan berulang; dan perancangan keselamatan untuk mengelakkannya. Kepercayaan kepada peguam bela adalah penting dan lebih berkemungkinan apabila peguam bela dan wanita itu berkongsi latar belakang etnik atau peguam bela itu turut didera. Peguam bela mesti membantu wanita mempertimbangkan pilihan terbaik mereka, bergantung pada perkara seperti etnik, status imigresen, tempat tinggal mereka, tahap keterukan dan jenis penderaan yang dialami dan kewangan. Terdapat tolak-ansur apabila membuat keputusan untuk mengurangkan penderaan dan keselamatan para wanita tidak semestinya berisiko tinggi apabila mereka tinggal bersama pendera. Sokongan berpotensi mempunyai beberapa manfaat untuk wanita yang didera, jika dilaksanakan dalam tempoh yang cukup lama, tetapi matlamatnya perlu sepadan dengan keperluan setiap wanita. Ia mungkin mengambil masa berbulan-bulan untuk memberikan kesan. Dua kajian (satu melibatkan polis dan satu di klinik antenatal) mendapati bahawa apabila penderaan adalah serius sebagai permulaan, sesetengah intervensi mungkin mendorong pendera untuk meningkatkan penderaan. Peguam bela mahu membantu wanita dan boleh mengalami tekanan jika mereka berasa tidak cukup membantu, jadi mereka memerlukan sokongan daripada organisasi dan peguam bela lain, termasuk latihan ulangan, taklimat, dan pembiayaan untuk menjalankan tugas mereka dengan baik.

Kualiti bukti

Keyakinan kami terhadap penemuan utama berbeza-beza antara sederhana hingga tinggi. Walau bagaimanapun, beberapa tema (kesan akibat wanita bergantung secara fizikal kepada pendera mereka, sedang mengandung atau mempunyai anak) adalah kurang disokong oleh bukti dan selanjutnya, penyelidikan berkualiti tinggi adalah diperlukan untuk mengesahkan penemuan. Penyelidik harus berhati-hati apabila memilih cara mengukur penderaan supaya langkah lebih bermakna untuk peguam bela dan wanita yang didera, sekali gus meningkatkan kegunaan ulasan masa depan. Bukti lanjut daripada kajian yang mana para peserta disusuli selama bertahun-tahun adalah berguna. Lebih banyak analisis ekonomi adalah diperlukan untuk memastikan sekiranya intervensi sokongan semasa adalah cara terbaik membelanjakan wang untuk wanita yang didera.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (Universiti of Hull). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information