Latar belakang
Wanita transgender mungkin merasa mereka telah dilahirkan dalam tubuh dengan ciri-ciri seksual yang salah. Ini boleh mengakibatkan distres psikologi yang ketara (disforia jantina) dan keinginan untuk menyesuaikan ciri fizikal dan seksual lelaki mereka agar lebih konsisten dengan ciri-ciri jantina wanita yang mereka alami. Ini adalah proses yang disebut sebagai peralihan gender. Jika langkah-langkah untuk membantu peralihan tidak diambil, ini mengakibatkan distres psikologi yang lebih besar. Salah satu rawatan perubatan yang diberi untuk membantu wanita transgender dengan tubuh badan lelaki untuk mencapai peralihan ialah hormon wanita sintetik. Hormon ini boleh diambil melalui mulut, diserap melalui kulit atau disuntik ke dalam otot.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian-kajian rawak terkawal (RCT) yang memasukkan wanita transgender (berumur 16 tahun ke atas) dalam proses peralihan dari lelaki kepada wanita. RCT adalah sejenis kajian penyelidikan yang dapat mengurangkan kemungkinan beberapa jenis bias. Untuk disertakan dalam ulasan ini, kajian-kajian perlu membandingkan rawatan-rawatan hormon yang berbeza yang diguna untuk membantu peralihan wanita transgender (estrogen sahaja, penyekat testosteron sahaja, atau kombinasi estrogen dengan penyekat testosteron), atau membandingkan rawatan hormon ini dengan plasebo (rawatan palsu atau rawatan pura-pura yang serupa dengan rawatan sebenar, tetapi tidak mempunyai kesan perubatan). Kami ingin melihat sama ada rawatan hormon membantu wanita transgender untuk membuat peralihan yang disukai. Kami juga ingin melihat sama ada terdapat risiko kesihatan untuk rawatan tersebut.
Keputusan utama
Kami mencari kajian-kajian sehingga 19 Disember 2019. Kami tidak menemui sebarang kajian relevan lengkap yang boleh disertakan. Kami temui satu kajian yang sedang berlangsung yang bertujuan untuk merekrut semua orang yang mengambil bahagian pada akhir tahun 2020. Kajian ini membandingkan kesan-kesan rawatan estradiol valerate bersama cyproterone dengan estradiol valerate bersama spironolactone dalam peralihan wanita transgender di Thailand.
Kualiti bukti
Ulasan kami tidak menemui RCT yang melihat sama ada terapi hormon berkesan dan selamat apabila digunakan untuk membantu peralihan wanita transgender. Oleh itu, RCT berkualiti tinggi diperlukan untuk menyelidik soalan ini.
Diterjemah oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.